November lalu Ford telah menunjukkan kali pertama Ranger 2022 baru dan kini ia berada di Bangkok International Motor Show (BIMS), dan harga untuk pasaran Thailand telah pun didedah. Setakat ini hanya model double cab yang disediakan, dan ia terdiri daripada varian Sport dan Wildtrak.
Model generasi baru ini dijual pada harga bermula 929,000 baht (RM116,400) untuk varian 2.0L Turbo HR (high-rider) 6MT, diikuti 964,000 baht (RM120,700) untuk versi 6AT dan 1,049,000 baht (RM131,400) untuk versi 4×4. Varian Wildtrak pula dijual pada harga 999,000 baht (RM125,100) untuk Turbo 6MT, 1,049,000 baht untuk 6AT, 1,159,000 baht (RM145,200) untuk Bi-Turbo 10AT dan 1,299,000 baht (RM162,700) untuk 4×4.
Daripada sini, mungkin ada di antara anda yang sudah nampak bahawa transmisi untuk model single-turbo kini telah diturunkan, daripada unit automatik sepuluh kelajuan 10R80 kepada enam kelajuan 6R80 (sebelum ini hanya digunakan untuk model 2.2L). Transmisi manual enam kelajuan itu pula adalah unit MT88 baru.
Enjin pula masih menggunakan unit diesel empat silinder EcoBlue “Panther” yang mampu menghasilkan 170 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm tork antara 1,750 hingga 2,500 rpm – turun 10 PS dan 15 Nm berbanding sebelum ini. Varian Bi-Turbo pula mampu mengeluarkan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Buat masa ini, enjin diesel turbo 3.0L V6 250 PS/600 Nm dan petrol turbo 2.3L 302 PS/452 Nm masih belum ditawarkan.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Ranger baru dibina atas platform T6 yang telah ditambah baik, dan mendapat bahagian luar yang direka semula sepenuhnya, dengan lampu hadapan berbentuk-C, gril lebih besar, lekuk-lekuk badan yang lebih menonjol serta lampu belakang LED tiga dimensi. Pada bahagian tepi ruang barangan trak ini juga sudah terdapat pemijak untuk memudahkan pengguna mencapai barang di dalam.
Model Sport dan Wildtrak dapat dibezakan melalui bampar hadapan, di mana Wildtrak menggunakan rekaan yang lebih agresif, rekaan rim 18 incinya serta rel bumbung dan sport bar yang disediakan pada Wildtrak. Varian yang lebih tinggi juga mendapat lampu yang memancar ke tanah di tepi pintu, soket 12 volt dan 230 volt di ruang barangan belakang serta brek cakera berliang.
Perubahan menyeluruh juga dibuat pada bahagian dalam, dengan yang paling utama adalah skrin sesentuh menegak berukuran 10.2 inci untuk semua varian Sport dan 12 inci untuk Wildtrak. Turut diberi adalah panel instrumen digital lapan inci untuk semua varian.
Kelengkapan standard lain yang diberi adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal suhu dua zon, corong pendingin hawa belakang, brek parkir elektronik, balutan kulit, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur serta pengecas Qi tanpa wayar. Varian Wildtrak pula mendapat tambahan tempat duduk pemandu larasan kuasa, lampu suasana, soket 230 dan cermin pandang belakang malap sendiri.
Pada bahagian keselamatan, Ranger datang secara standard dengan enam beg udara dan kawalan stabiliti, sementara Wildtrak mendapat tambahan beg udara kaki. Hanya varian Wildtrak Bi-Turbo yang mendapat Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop-and-go, Lane Centring Assist, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik serta Reverse AEB.
Meskipun varian lain tidak datang dengan sistem bantuan pemandu ini secara standard, pemilik masih boleh menambah kesemuanya kecuali Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist pada varian Sport dengan bayaran tambahan. Anda boleh membaca secara terperinci tentang Ranger baru ini di sini.
GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022
GALERI: Ford Ranger Sport 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.