UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini telah mengumumkan senarai harga baharu untuk barisan model Toyota Corolla generasi ke-12 di Malaysia. Harga berkenaan mula berkuatkuasa bermula hari ini iaitu 1 April 2022, dan termasuk cukai jualan dan servis (SST).

Bermula 1 April 2022, harga barisan model Toyota Corolla di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Corolla 1.8E – RM130,888
  • Corolla 1.8G – RM141,888
  • Insentif pengurangan cukai SST yang diberikan oleh kerajaan hanya akan berakhir pada 30 Jun 2022, jadi mengapa UMWT sudahpun mengeluarkan harga lengkap dengan SST bermula April? Menurut wakil dari UMWT, ini kerana tempahan untuk Corolla di Malaysia sebenarnya sudahpun penuh sehingga akhir Jun nanti. Sekiranya anda membuat tempahan untuk membeli Corolla pada hari ini, anda hanya akan menerima kereta anda paling cepat pada Julai nanti.

    Dengan harga baharu ini, model 1.8G adalah RM2,000 lebih mahal berbanding harga pada Jun 2020 (RM139,888), yang telah dikemaskini ketika itu menampilkan sistem infotainmen baharu dengan skrin Display Audio sembilan-inci yang menyokong Android Auto, Apple CarPlay dan Miracast. Corolla 1.8E – tanpa tingkat taraf sistem Display Audio – turut naik dalam jumlah yang sama berbanding RM128,888 sebelum ini.

    Tiada sebarang perubahan pada spesifikasi Corolla 2022 ini. Ia masih dijana oleh enjin petrol 1.8 liter NA empat-silinder berkuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,000 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya bagi memacu roda hadapan. Model tertinggi G pula hadir dengan pedal penukar gear pada roda stereng.

    Bagi sistem keselamatan standard, Corolla pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan tujuh-beg udara, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, traction control, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, lampu isyarat berhenti kecemasan, sistem amaran tekanan tayar, pengingat pemakaian tali keledar untuk penumpang hadapan dan belakang, cagak tempat duduk ISOFIX, serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Model 1.8 G pula diberikan sistem tambahan seperti sistem pra-pelanggaran (PCS), amaran keluar lorong (LDA) dengan bantuan sterteng dan pengesan lorong, dynamic radar cruise control, lampu tinggi automatik dan pemantau titik buta.

    Model 1.8G juga menerima kelengkapan tambahan lain termasuk paparan instrumen Optitron, paparan pelbagai informasi TFT tujuh-inci (hanya 4.2-inci untuk varian E), sistem pendingin hawa dua zon, tempat duduk balutan kulit (hanya fabrik pada varian E), pelindung matahari belakang.

    Monitor pandangan panaromik 3D dan juga kamera perakam digital hadapan dan belakang juga adalah standard untuk model 1.8G, tetapi kedua-duanya turut boleh dipadankan secara opsyen untuk model 1.8E.

    Lima warna ditawarkan untuk Toyota Corolla pasaran Malaysia ini iaitu Silver Metallic, Celestite Gray Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic, dan juga warna premium Platinum White Pearl yang memerlukan anda menambah bayaran sebanyak RM800.

    Seperti biasa, pembelian Toyota Corolla ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama lima tahun, tanpa had perbatuan.