Honda City – sedan segmen-B terlaris di Malaysia

Honda City – sedan segmen-B terlaris di Malaysia

Honda Malaysia (HMSB) telah mengumumkan menerusi Facebook bahawa model City telah diangkat sebagai sedan segmen-B terlaris di Malaysia bagi suku pertama tahun 2022, menurut laporan data dalamannya sendiri. Ini bermakna ia telah mengatasi pencabar terdekatnya seperti Toyota Vios, Nissan Almera dan Proton Persona dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Walau pun HMSB tidak memberikan sebarang angka jualan, namun jualan bulanan dijangka lebih tinggi berbanding yang dicatatkan oleh Persona iaitu sebanyak 1,675 unit pada bulan Februari, di mana model itu menduduki tempat kedua dalam segmennya, seperti mana yang didakwa oleh Proton sebelum ini.

Nampaknya Honda juga mempunyai stok tersedia buat City bagi menampung permintaan pelanggan yang ingin membelinya dalam tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih berlangsung. Ini merupakan bonus yang boleh dikatakan terbaik buat Honda khususnya, kerana dalam saat ini, kebanyakan pengeluar kereta lain masih bergelut dengan isu kekurangan alat ganti dan cip semikonduktor. Contohnya, Vios, yang telah kehabisan stok sehingga pengecualian SST tamat pada 30 Jun ini.

Untuk pengetahuan, City versi sedan dilancarkan pada Oktober 2020 dengan menawarkan empat varian iaitu 1.5 S (RM74,191), 1.5 E (RM81,665), 1.5 V (RM86,561) dan RS e:HEV Hybrid (RM105,950). Varian di bawah RS iaitu 1.5 V Sensing, telah ditambah kelengkapan Honda Sensing yang menampilkan ciri keselamatan aktif (termasuk brek kecemasan sendiri dan kawalan kelajuan adaptif). Ia diperkenalkan pada hujung tahun lepas yang diposisikan di antara varian V dan RS, berharga RM90,212. Semua harga yang disenaraikan ini termasuk dengan 100% pengecualian SST.

Model petrol dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated i-VTEC yang mampu menghamburkan kuasa 121 PS dan tork 145 Nm, dipadankan dengan CVT secara standard. Manakala varian e:HEV pula digandingkan dengan motor elektrik 109 PS/252 Nm yang dipacukan oleh penjana kuasa 1.5 liter kitaran-Atkinson 98 PS/127 Nm.

Selain versi sedan, kini Honda turut menawarkan City dalam bentuk hatchback, walau pun kebarangkalian ia agak sukar untuk menduduki carta teratas dalam segmennya, kerana umum mengetahui Perodua Myvi kekal utuh mendominasi kendudukan tersebut.

GALERI: Sedan Honda City RS e:HEV 2021 di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required