Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

Selepas dua bulan model dengan enjin petrol sepenuhnya Honda City Hatchback dilancarkan, hari ini Honda Malaysia mengumumkan secara rasmi harga untuk varian paling sporty dijana unit rangkaian kuasa hibrid iaitu City Hatchback RS e:HEV. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM107,783, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

Seperti model baharu Honda yang lain, ia menerima perlindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan servis percuma (kos upah sahaja) sebanyak lima kali.

Jadi, ia secara rasmi dijual dengan harga RM20,000 lebih mahal berbanding model tertinggi versi petrol iaitu City Hatchback 1.5V. Berbanding model sedan City RS e:HEV pula, model dengan badan tanpa but yang lebih sporty ini adalah sekitar RM2,000 lebih mahal.

City Hatchback hibrid ini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedan RS e:HEV. ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm.

Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

Namun ia masih diberikan transmisi kelajuan tunggal yang membolehkan enjin petrol memacu roda hadapan ketika cruising. Ini membolehkan City Hatchback RS e:HEV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j, dengan penggunaan bahan api 3.6 liter untuk setiap 100 km. Macam mana sebenarnya sistem i-MMD ini berfungsi? Anda boleh ketahuinya dalam artikel pandu uji kami terhadap City RS e:HEV versi sedan pada PAUTAN INI.

Sebagai model yang paling sporty dan paling tinggi, City RS e:HEV diberikan imej agresif menerusi gril hadapan dan cermin sisi dalam kemasan hitam berkilat, perumah lampu kabus dengan elemen bersirip, serta rim 16-inci dalam kemasan dua-tona. Kelengkapan dari varian 1.5 V seperti lampu hadapan LED sepenuhnya bersama lampu kabus hadapan LED juga diberikan pada model RS ini.

Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

Bahagian kabin model RS ini turut diberikan upholsteri gabungan kulit dan sued, set pedal aloi, pelapik bumbung hitam, pencahayaan merah pada suis kawalan pendingin hawa, serta paparan meter separa digital dengan skrin instrumen tujuh-inci.

Serlahan jahitan benang merah turut diberikan pada roda stereng, papan pemuka, sarung tuil gear bagi memberikan imej lebih sporty pada kabin versi RS ini. Malah, tempat duduk City Hatchback RS ini juga diberikan sedikit fabrik berwarna merah pada setiap sisi tempat duduk hadapan, berbanding hitam sepenuhnya pada sedan RS.

Juga sama seperti sedan, hanya model RS diberikan brek parkir elektronik dan brek cakera pada roda belakang (tuil manual biasa dan brek dram pada roda belakang untuk model petrol). Walau bagaimanapun, hanya varian RS pada City Hatchback ini yang menerima liang pendingin hawa belakang. Pada model sedan, liang penghembus udara sejuk untuk penumpang belakang berkenaan diberikan pada setiap varian secara standard.

Bagi aspek keselamatan pula, model RS ini berkongsi kelengkapan dengan model petrol 1.5 V untuk perincian seperti enam beg udara dan juga kamera titik buta Honda LaneWatch. Namun model paling mahal ini ditambah dengan pakej sistem bantuan pemanduan termaju Honda Sensing.

Sistem tersebut memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan arah bentetangan, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong dan lampu tinggi automatik.

Model ini juga menerima servis Honda Connect yang memberikan fungsi seperti pengesan pelanggaran dan penggera automatik, amaran kelajuan dan geofencing, pengesan lokasi kereta dan juga panggilan kecemasan. Sistem ini turut boleh dihubungkan kepada aplikasi pada telefon pintar membolehkan pemilik memeriksa status kenderaan mereka, mengawal pelbagai fungsi dalam jarak jauh serta pengingat untuk servis seterusnya.

GALERI: Honda City Hatchback RS e:HEV 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required