Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sekali lagi menegaskan bahawa warga Singapura yang mempunyai saman trafik tertunggak serta saman berstatus waran tangkap boleh dihalang keluar dari negara ini dan boleh ditangkap.

Menurut Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, sehingga kini, sebanyak 108,757 saman masih belum dijelaskan daripada 143,427 saman yang dikeluarkan dari 2016 hingga 2021, laporan Berita Harian.

“JSPT ingin mengingatkan kepada semua pesalah trafik warganegara Singapura bahawa mereka boleh dihalang keluar dari negara ini jika mempunyai saman tertunggak sama ada Pol 170A atau Pol 257 berdasarkan di bawah Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 24(4) Akta Polis 1967.

“Jika pesalah trafik berkenaan mempunyai saman berstatus waran tangkap, polis akan menangkap pesalah trafik berkenaan dan dituduh di mahkamah dalam tempoh segera. Jika dapat dituduh pada hari yang sama, pesalah trafik berkenaan akan ditahan sekiranya tidak dapat mengemukakan penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia, sebelum dituduh keesokkan harinya,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan yang dilaksanakan, Mat Kasim berkata, pihaknya sentiasa mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bagi mengambil tindakan terhadap pesalah trafik warganegara Singapura, sama ada berskala besar yang membabitkan semua kontinjen atau sederhana, yang dilakukan oleh kontinjen Johor sepanjang tahun.

Beliau turut menyangkal isu saman tertunggak terkait dengan kelemahan penguatkuasaan. Katanya, perkara yang turut menyumbang kepada saman tertunggak ini ialah notis saman gagal disampaikan berikutan tidak mempunyai alamat pesalah trafik berkenaan bagi membolehkan saman berkenaan diposkan kepada mereka.

“Selain itu, kemungkinan terdapat kenderaan yang dikeluarkan saman oleh polis sudah dilupuskan apabila sampai tempohnya, iaitu lima tahun berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa di Singapura,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, pihaknya turut mengalu-alukan pelaksanaan pendaftaran kenderaan warganegara Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP), yang berkuat kuasa di pintu masuk sempadan negara tidak lama lagi.

Berdasarkan sistem ini, maklumat pesalah trafik akan diperoleh bagi membolehkan notis saman dapat disampaikan kepada pesalah trafik.

“Sistem ini juga akan mengimbas nombor pendaftaran kenderaan warganegara Singapura yang memasuki sempadan Malaysia serta memaparkan jumlah saman yang tertunggak. Mereka akan dihalang keluar dari negara ini sehingga semua saman mereka dijelaskan berdasarkan peruntukan undang-undang yang dinyatakan tadi iaitu Seksyen 24 (4) Akta Polis 1967 dan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam masa yang sama, JSPT juga meningkatkan peralatan penguatkuasa yang lebih moden dan berkesan iaitu dengan menggunakan 40 alat Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap.

Malah, beliau berkata, pengimbas itu yang dihubungkan terus kepada pangkalan data dapat mengesan kenderaan hilang atau yang dilaporkan curi, termasuk kenderaan klon.

“Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan pengguna jalan raya, JSPT turut menggunakan Peralatan Pengesan Had Laju (In-Car Radar), yang dipasang pada kenderaan peronda bagi menangani kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan mengeluarkan saman terhadap pesalah trafik berkenaan pada ketika itu juga,” katanya.