BMW X7 facelift 2023 diperkenal – model G07 LCI terima lampu utama jenis terpisah, enjin hibrid ringkas

BMW X7 facelift 2023 diperkenal – model G07 LCI terima lampu utama jenis terpisah, enjin hibrid ringkas

BMW X7 G07 facelift akhirnya didedahkan secara rasmi. Sports Activity Vehicle (SAV) paling besar BMW ini mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2018 bagi bersaing dengan Mercedes-Benz GLS dan sekarang, selepas tiga tahun setengah, ia diberikan naik taraf.

Perubahan paling utama adalah di luar, terutamanya bahagian hadapan. Gril masih lagi besar seperti dulu, tetapi ia menggunakan perincian menegak di dalam dan boleh dipilih dengan pakej Iconic Glow yang meletakkan lampu di bahagian gril tersebut.

Lampu utama pula kini menggunakan rekaan yang terpisah dua dengan bahagian atas yang lebih nipis untuk DRL dan penunjuk arah manakala unit LED matriks adaptif di bahagian bawah. Bampar juga telah direka semula sementara bahagian lain tidak menunjukkan perubahan yang ketara kecuali lampu belakang yang mempunyai perincian unik di dalamnya.

Jika model biasa nampak terlalu bosan, pelanggan boleh mendapatkan pakej M Sport, di mana mereka akan menerima bukaan udara lebih besar pada bampar serta kemasan hitam berkilat pada bahagian termasuk rel bumbung, keliling tingkap serta cermin sisi.

BMW juga ada menawarkan pakej M Sport Pro bersama kemasan M Shadow Line, yang meletakkan kemasan hitam matte pada keliling gril, krom gelap pada muncung ekzos serta angkup brek M Sport warna hitam. Piihan rim yang disediakan bermula daripada 20 inci, sehingga 23 inci.

Di dalam, X7 menggunakan skrin BMW Curved Display, yang terdiri daripada panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh 14.9 inci di tengah, bersama BMW Operating System 8. Butang kawalan pada papan pemuka telah dikurangkan dan bahagian lain yang diubah termasuk corong pendingin hawa serta tombol penukar gear.

X7 facelift ini masih lagi datang dengan tiga baris tempat duduk, sama ada dengan tetapan 2-3-2 (tujuh tempat duduk) atau 2-2-2 (enam tempat duduk). Apabila semua tempat duduk berada dalam kedudukan tegak, ruang but hanya berkapasiti 326 liter, sementara apabila dilipat, ia boleh menyediakan sehingga 2,120 liter.

Pintu but jenis terpisah juga masih digunakan, dengan kini ia boleh dibuka tanpa sentuh sebagai sebahagian daripada pakej Comfort Access yang diberikan secara standard. Kelengkapan lain yang diberi terus adalah termasuk tempat duduk penumpang hadapan dengan fungsi pemanas, bumbung panoramik serta sistem bunyi 10 pembesar suara.

BMW X7 facelift 2023 diperkenal – model G07 LCI terima lampu utama jenis terpisah, enjin hibrid ringkas

Pergi ke bahagian mekanikal, semua enjin yang ditawarkan pada X7 ini datang dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, yang menambah motor elektrik berkuasa 12 PS (12 hp atau 9 kW) dan 200 Nm ke dalam perumah transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuannya. Transmisi ini dipadankan bersama sistem pacuan semua roda xDrive, dan menyediakan fungsi Launch Control serta Sprint.

Satu daripada tiga varian yang diperkenalkan sewaktu pelancaran adalah xDrive40i, di mana ia menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 380 PS (375 hp atau 280 kW) dan 520 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencatat kelajuan maksimum 250 km/j.

Satu lagi varian enjin enam silinder adalah xDrive40d, yang menggunakan unit diesel turbo 3.0 liter berkemampuan 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 700 Nm tork. Apabila sistem hibrid masuk membantu, kuasanya boleh ditingkatkan lagi buat sementara menjadi 352 PS (347 hp atau 259 kW) dan 720 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.1 saat manakala laju maksimum pula adalah 243 km/j.

Jika kuasa adalah perkara yang betul-betul anda mahu, jawapannya adalah M60i xDrive. Varian ini menggunakan enjin petrol V8 4.4 liter twin turbo, mampu menghasilkan kuasa 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan 750 Nm, dan membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, tetapi laju maksimum masih dihadkan pada 250 km/j. Untuk lebih dinamik, ia juga dipasang dengan differential M Sport.

Model ini juga mendapat suspensi udara adaptif yang boleh melaras kedudukannya sehingga 80 mm manakala rear-wheel steering (Integral Active Steering) dan active roll stabilisation (Executive Drive Pro) juga diberikan terus pada M60i xDrive, bersama angkup brek M Sport. Bagi varian lain, barangan ini disediakan sebagai pilihan tambahan.

Pada bahagian keselamatan, X7 dilengkapi dengan sistem amaran perlanggaran hadapan, Lane Departure Warning, Speed Limit Info serta Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go. Apabila mengambil pakej Driving Assistant Professional, ciri ini akan ditambah lagi dengan Steering and Lane Control Assistant serta Lane Change Assistant.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required