Di India, Yamaha telah memperkenalkan MT-15 Version 2.0, yang diberitahu mempunyai beberapa peningkatan berbanding model yang berada di pasaran sekarang. Ada di antaranya mungkin boleh dijangka tiba kepada MT-15 pasaran lain, termasuklah Malaysia.

Jika melihat kepada model India ini, anda boleh perasan terdapat beberapa tambahan besi di bawah tempat duduk belakang serta berhampiran rantai. Itu adalah pemegang tangan serta pelindung kain sari, dan ia mungkin hanya dikhaskan kepada pasaran tersebut.

Kemudiannya, Yamaha India juga ada menyatakan beberapa peningkatan seperti fork USD serta lengan ayun aluminium. Ini juga sudah sedia ada pada MT-15 pasaran negara kita, dan dianggap satu peningkatan bagi mereka kerana model di sana sebelum ini menggunakan fork teleskopik biasa.

Peningkatan lebih menarik yang dapat dilihat adalah sistem brek ABS, yang disediakan untuk brek cakera 282 mm di hadapan (one-channel), manakala panel instrumen digitalnya pula kini telah dimasukkan dengan sistem Y-Connect yang membolehkan sambungan kepada telefon dan memberikan fungsi seperti notifikasi panggilan, mesej serta emel, tempat parkir terakhir, penggunaan bahan api dan cadangan waktu selenggara.

Ciri-ciri ini boleh dijangka tiba pada MT-15 yang dipertingkat untuk pasaran kita nanti, sementara bahagian lain pula masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk enjin satu silinder VVA 155 cc SOHC berkemampuan 18.4 PS dan 14.1 Nm tork. Transmisi adalah unit enam kelajuan, dengan klac jenis slip & assist.

Kelengkapan lain pada MT-15 Version 2.0 ini adalah tangki bahan api 10 liter, brek cakera 220 mm, rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 140/70 di belakang, monoshock di belakang, semua lampu jenis LED, berat keseluruhan 139 kg dan tinggi tempat duduk 810 mm.