Bulan lepas, Honda telah memperkenalkan sebuah motosikal baru yang menggunakan bentuk ala cafe racer, dipanggil sebagai Hawk 11. Semasa itu, cuma informasi ringkas sahaja yang disiarkan, dan kini ia telah pun mula dijual di Jepun, dengan harga bermula 1.397 juta yen (RM46k).
Melihat kepada harga itu, mungkin ada peminat di negara kita yang sudah mula teruja. Sebelum anda memasang harapan tinggi, biar kami nyatakan bahawa setakat ini Honda memberitahu Hawk 11 ini cuma hanya untuk pasaran domestik Jepun sahaja. Kemudiannya, jika melihat model lain dengan harga yang hampir sama, iaitu CB1100RS, di sana ia dijual pada harga 1.4 juta yen (RM46,400) sementara apabila tiba di Malaysia ia menjadi RM75,999.
Honda Hawk 11 digerakkan oleh enjin dua silinder selari 1,082 cc bersama padanan transmisi manual enam kelajuan, mampu menghasilkan 102 PS pada 7,500 rpm dan 104 Nm tork pada 6,250 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang menggunakan sistem rantai.
Melalui sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini dapat disediakan dengan empat mod tunggangan, yang menetapkan tahap penyampaian kuasa, engine braking dan Honda Selectable Torque Control (HSTC). Di bahagian kokpit, terdapat meter digital LCD yang serba lengkap.
Kelengkapan lain Hawk 11 adalah ringkas sahaja, dan bukannya seperti motosikal prestasi, seperti suspensi tanpa pelarasan (fork teleskopik dan monoshock di belakang, brek cakera berkembar di hadapan dan tunggal di belakang, rim 17 inci, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 820 mm dan berat keseluruhan 214 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.