Yamaha TMax Tech Max 2022 terima peningkatan – panel badan serba baru, kelengkapan lebih canggih

Hanya dua tahun selepas diberikan rombakan menyeluruh, Yamaha T-Max kini diberikan peningkatan sekali lagi dan sudah pun mula berada di pasaran Eropah. Peningkatan ini dinyatakan untuk TMax Tech Max, yang kini menjadi satu-satunya versi T-Max generasi ketujuh yang ditawarkan kepada pasaran tersebut (versi lebih rendah sudah tiada dalam senarai).

Panel badan model ini menggunakan rekaan serba baru yang lebih sporty, bersama lampu hadapan jenis projector baru yang bentuknya lebih nipis serta disepadukan sekali dengan lampu penunjuk arah (tiada lagi lampu penunjuk arah berasingan di bawah). Lampu belakang juga adalah baru, dengan nyalaan LED berbentuk T serta juga lampu penunjuk arah bersepadu.

Bagi memberikan tunggangan lebih sporty dan pada masa sama selesa kepada penunggang serta penumpang, ergonomik skuter ini diubah sedikit, melibatkan tempat duduk serta pelantar kaki yang dipanjangkan, badan yang lebih ramping serta pemegang yang menghasilkan tunggangan sedikit menunduk.

Yamaha TMax Tech Max 2022 terima peningkatan – panel badan serba baru, kelengkapan lebih canggih

Meter sebelum ini yang menggunakan gabungan analog dan LCD telah diganti dengan unit TFT tujuh inci berwarna penuh baru, yang selain memaparkan pelbagai informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide untuk memberikan akses kepada panggilan, notifikasi, muzik serta navigasi.

Bahagian lain masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin dua silinder selari DOHC 562 cc yang dipadankan bersama transmisi CVT dengan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

Senarai kelengkapan pada skuter ini juga agak panjang dan melibatkan pelbagai ciri canggih seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, sistem tanpa kunci, traction control, mod tunggangan, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk serta tongkat tengah anti kecurian (hanya boleh diturunkan apabila kunci pintar ditekan).

Perincian lain TMax Tech Max 2022 ini adalah rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, brek cakera 267 mm berkembar di hadapan dan cakera 282 mm di belakang, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, tangki bahan api 15 liter, berat 220 kg dan tinggi tempat duduk 800 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.