Proton Exora 2022 akan dilancarkan tak lama lagi – terima perubahan kecil seperti Saga MC2, OCH baru

Proton Exora 2022 akan dilancarkan tak lama lagi – terima perubahan kecil seperti Saga MC2, OCH baru

MPV tujuh-tempat duduk Perodua Alza akhirnya telah ditamatkan produksinya bulan lalu selepas hampir 13-tahun dalam pasaran dan bakal diganti dengan model generasi baharu tidak lama lagi. Selain Alza, Proton juga mempunyai produk yang hampir serupa iaitu Exora – ia juga MPV tujuh-tempat duduk (tetapi dalam kelas yang lebih besar), dan telah berada dalam pasaran sejak April 2009, atau sudah lebih dari 13-tahun dijual di bilik pameran Proton.

Adakah Proton turut akan menghentikan produksi Exora dalam masa terdekat dan menggantikannya dengan model generasi baharu? Nampaknya tidak. Ketika pelancaran Proton Saga facelift MC2 2022 semalam, naib CEO Proton Roslan Abdullah menyatakan Exora turut akan menerima satu lagi penyegaran kecil seperti Saga tahun ini, menandakan usianya dalam produksi masih lagi panjang.

Menurutnya, Exora 2022 ini nanti bakal menerima beberapa perincian baharu, tetapi perubahan yang dibuat adalah “kurang daripada Saga” dan jangan berharap perubahan besar untuk model yang berusia dalam pasaran ini.

Roslan turut menyatakan bahawa Proton mengambil berat berkenaan isu hos penyejuk minyak (OCH) pada enjin 1.6L turbo CFE yang menghantui pemilik Exora sedia ada, dan menjelaskan bahawa jurutera Proton kini sedang menghasilkan komponen baharu yang beliau harapkan lebih tahan lama.Roslan turut menambah bahawa Proton kini masih sedang secara aktif mencari semula pemilik-pemilik Exora sedia ada yang mengalami masalah berkenaan.

Proton Exora mula menerima enjin turbo berkenaan pada versi facelift yang diperkenalkan pada tahun 2011. Rupa MPV tersebut tidak banyak berubah sehingga model yang dijual buat masa sekarang. Kali terakhir Exora dikemaskini adalah pada 2019 (dikenali sebagai Exora RC), di mana MPV tersebut menerima talaan kotak gear CVT yang lebih responsif, upholsteri dalaman dengan material yang lebih baik, paparan instrumen lebih moden seperti Persona dan Iriz, sistem infotainmen dengan fungsi arahan suara “Hi, Proton”, serta beberapa perubahan kecil lain.

Menurut Roslan, Exora masih boleh dijual dalam kuantiti yang konsisten (antara 400 hingga 500 unit sebulan) walaupun hanya menerima perubahan-perubahan kecil sejak ia diperkenalkan. Dengan permintaan yang masih ada, Exora masih akan terus dijual dalam pasaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required