Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Setiap kali ada kami buat hantaran berkenaan Alza, pasti ramai yang menderu masuk untuk membaca berkenaan MPV keluaran Perodua ini.

Maklumlah, ia adalah MPV tujuh-tempat duduk paling mampu milik yang diperlukan banyak keluarga di Malaysia, membolehkan momentum jualannya kekal stabil sejak ia dilancarkan pada November 2009 dan telah menerima dua fasa facelift iaitu pada Januari 2014 serta September 2018 sehingga produksinya tamat pada bulan lalu – bermaksud ia sudah pun dijual selama 12-tahun dalam pasaran.

Walaupun boleh dikategorikan sebagai agak ‘kuno’ dari segi teknologi dan perincian berbanding pesaingnya lain dalam pasaran, Alza generasi pertama tersebut berjaya dijual hampir 15,000 unit sepanjang tahun lalu, dan kurang hanya sekitar 500 unit berbanding Perodua Aruz yang lebih moden.

Menurut CEO dan presiden Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, Alza telah memberikan keuntungan penuh kepada Perodua – ia dijual dalam pasaran lebih dari satu dekad, bermakna segala pelaburan pembangunan yang dibuat terhadap model tersebut telah lama ‘balik modal’, dan setiap jualannya memberikan keuntungan yang tinggi.

Sebab paling utama produksi Alza generasi pertama ini terpaksa dihentikan adalah kerana ia tidak lagi menepati undang-undang emisi ekzos setelah kerajaan beralih dari penarafan Euro 2 kepada Euro 4 pada tahun ini (ia pada asalnya dijadualkan akan beralih pada 1 Oktober 2021).

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Gambar intipan awalan Alza D27A yang dilihat ‘bersembunyi’ dibawah badan Toyota Avanza, diuji bersama Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga

Sebelum ini, Perodua turut mengesahkan bahawa sebaik sahaja produksi Alza generasi pertama ini tamat, mereka akan memulakan operasi pemasangan untuk model generasi keduanya pula, yang sehingga kini dikenali dengan kod projek D27A. Ini bermaksud, model gantian untuk MPV tersebut bakal dilancarkan secara rasmi bila-bila masa dari sekarang. Jadi dalam artikel ini, kami akan membuat kompilasi segala maklumat yang kami tahu setakat ini berkenaan model tersebut, agar mudah anda membuat jangkaan berkenaan spesifikasi, rupa mahupun harganya apabila ia dilancarkan kelak.

Jika sebelum ini Alza berkongsi asas yang sama dengan model JDM iaitu Toyota Passo Sette dan juga Daihatsu Boon Luminas (kedua-dua model ini hanya bertahan selama empat tahun di Jepun, berbanding Alza yang mampu dijual selama 12-tahun dengan permintaan tinggi di Malaysia!), model generasi baharu ini pula dihasilkan menerusi platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan ia berkongsi asas yang sama dengan Toyota Avanza/Veloz serta Daihatsu Xenia generasi baharu – kedua-duanya telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu.

Ini bermaksud selepas dilancarkan nanti, Alza generasi baharu ini akan berhadapan terus dengan model-model MPV tujuh tempat duduk sedia ada dalam pasaran dan ‘lahir’ di Indonesia seperti Mitsubishi Xpander (MPV bukan nasional paling laris di Malaysia).

Model kedua Perodua guna platform DNGA

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Selepas Ativa, Alza D27A ini akan menjadi model kedua Perodua yang menggunakan platform DNGA. Seperti yang ramai sudah tahu, DNGA ini dihasilkan berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang diolah semula bagi menghasilkan model-model kompak Toyota, Daihatsu dan Perodua. Platform DNGA ini juga selepas ini bakal digunakan sebagai asas untuk model generasi baharu Toyota Vios yang kini dikenali dengan kod projek D92A.

Bagi DNGA untuk Alza D27A ini, ia bakal dihasilkan dengan struktur yang sama seperti Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia sebagai MPV tujuh-tempat duduk, berbeza dengan Perodua Ativa/Toyota Raize/Daihatsu Rocky yang dihasilkan sebagai SUV segmen-B permulaan (hampir kepada saiz segmen-A).

Adakah Toyota Avanza generasi baharu turut akan dijual di Malaysia?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Nama ‘Avanza’ memang sudah kuat dalam Malaysia. Sebelum adanya Alza, Toyota Avanza merupakan perintis kepada MPV tujuh-tempat duduk kompak mampu milik dalam pasaran tempatan. Sebagai kembar kepada Alza generasi kedua, sekiranya Avanza generasi baharu ini turut dijual di sini, sudah tentu ia akan seperti kembar Perodua Aruz/Toyota Rushdihasilkan bersama di kilang Perodua di Rawang, tetapi dijual dengan logo Toyota serta menampilkan harga lebih mahal.

Sebelum ini juga Perodua sudah mengumumkan bahawa pemasangan kontrak di kilang mereka untuk tahun ini disasarkan hanya berjumlah 2,000 unit – angka yang sepadan dengan pengeluaran Rush kerana model tersebut sememangnya tidak dijual dalam jumlah yang banyak setiap tahun.

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Buat masa sekarang, UMW Toyota tidak mempunyai fasiliti bagi memasang model-model yang dihasilkan menerusi platform DNGA di kilang mereka, selepas membuat pelaburan besar bagi membuat tingkat taraf di kilang Bukit Raja bagi memasang model-model yang diasaskan dari platform TNGA, bermula dengan Corolla Cross.

Walau bagaimanapun, UMW Toyota mungkin bakal turut melengkapkan kilang mereka untuk memasang model-model berasaskan platform DNGA ini kelak kerana Vios generasi seterusnya akan dibangunkan dengan platform berkenaan. Jadi ada kemungkinan, Toyota mungkin akan menjual versi lebih premium Avanza iaitu Veloz di pasaran tempatan, memberikan perbezaan yang besar dengan Alza sesuai dengan harga yang lebih tinggi.

Berapa besar saiz Alza generasi kedua ini berbanding saingan-saingan sekelasnya?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Mengambil contoh Ativa dan Daihatsu Rocky/Toyota Raize, Alza D27A ini dijangka akan menampilkan dimensi sama dengan Avanza generasi baharu. MPV tersebut diukur dengan panjang 4,395 mm panjang, lebar 1,750 mm, tinggi 1,700 serta jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi berbanding Alza sebelumnya, Alza 2022 ini sememangnya lebih besar dengan 175 mm lebih tinggi, 55 mm lebih lebar dan 80 mm lebih tinggi, tetapi jarak roda antara kedua-dua model ini kekal sama.

Manakala berbanding Mitsubishi Xpander, Alza hanya 80 mm lebih pendek, 30 mm lebih rendah serta jarak roda 25 mm lebih dekat, tetapi lebar kedua-dua MPV ini adalah sama. Kesimpulannya, Alza D27A ini akan menampilkan kabin yang lebih kecil berbanding Xpander, terutamanya pada bahagian kelegaan kepala dan bahu.

Alza 2022 ini juga masih perlu berhadapan dengan Proton Exora – satu lagi MPV nasional yang sudah berada lebih satu dekad dalam pasaran. Dari segi saiz, Exora adalah 215 mm lebih panjang serta 59 mm lebih lebar, tetapi tampil dengan jarak roda lebih pendek.

Exora sebenarnya mempunyai sifat yang lebih dekat dengan kereta, dan diukur 9 mm lebih rendah berbanding Alza 2022 ini yang sememangnya sebuah MPV sejati. Walaupun Exora boleh dikategorikan sebagai MPV segmen-C, kami menjangkakan Alza 2022 bakal dijual pada harga yang hampir dengan model Proton yang sudah agak berusia dalam pasaran ini.

Rekaan luaran – banyak beza berbanding Avanza?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Untuk rekaan luaran, sekali kita boleh jadikan Ativa/Raize/Rocky sebagai panduan. Untuk kembar SUV tersebut, ketiga-tiganya menampilkan rekaan sisi serta lampu hadapan dan belakang yang sama, dibezakan pada muka dan juga bampar belakang serta rekaan rim.

Jadi perkara sama boleh kita jangka pada Alza di mana MPV baharu dari Perodua ini akan menampilkan lampu hadapan dan belakang yang nipis dan tirus, garis sisi atas badan yang bersambung dengan lampu hadapan dan belakang, diberikan rekaan seperti fender flare pada kesemua ruang roda serta tiang-D yang memberikan rupa “bumbung terapung”.

Untuk muka, Perodua berkemungkinan akan menerapkan rekaan signatur terkini mereka iaitu dengan elemen-X seperti Ativa dan juga Myvi facelift 2022. Susah nak bayang? Pakar manipulatif automotif, Theophilus Chin sebelum ini sudahpun menghasilkan dua lakaran bayangan digital Perodua Alza generasi baharu berkenaan.

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Lakaran pertama yang dibuat oleh Theo adalah dengan menerapkan perincian dari Myvi facelift pada Alza ini termasuk gril, lampu nyalaan siang yang diletakkan menegak dan juga gril bawah pada bampar. Manakala lakaran kedua dibuat berdasarkan maklumat dalaman yang didakwa bocor sebelum ini, yang menyatakan bahawa Alza bakal menerima gril dengan elemen pin krom seakan gril Mercedes-Benz.

Dalam kabin, Alza 2022 turut dijangka akan berkongsi rekaan yang sama dengan Avanza/Xenia termasuk bahagian papan pemuka, dan akan dibezakan dengan beberapa perincian-perician kecil. MPV ini juga mungkin akan menerima perincian-perincian dari Ativa seperti skrin infotaimen sembilan-inci, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci pada varian lebih tinggi, serta kawalan sistem pendingin hawa digital (bersama butang memori berbanding fungsi automatik pada Toyota).

Dengan platform DNGA pacuan hadapan ini juga akan membolehkan kesemua tempat duduk Alza ini dilipat rata tanpa halangan.

Adakah Alza bakal dilengkapi fungsi Apple CarPlay atau Android Auto?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Papan pemuka Toyota Avanza pasaran Indonesia

Buat masa sekarang tiada lagi jenama automotif tempatan yang menawarkan kedua-dua fungsi hubungan antara telefon pintar dan sistem infotainmen kenderaan ini. Untuk Proton, mereka sememangnya membangunkan sistem mereka sendiri yang dilihat tidak akan menampilkan fungsi tersebut, manakala Perodua pula lebih terbuka dan mungkin akan menawarkan Apple CarPlay mahupun Android Auto ini pada model-model mereka akan datang.

“Kami memang dapat banyak permintaan terhadap Apple CarPlay, jadi untuk model-model akan datang kami akan mengambilkira [fungsi ini],” kata Zainal sebelum ini. “Buat masa sekarang, dengan Myvi [facelift yang belum diberikan Apple CarPlay atau Android Auto], kami perlu ambil kira persamaannya dengan Ativa.”

Dengan faktor bahawa Alza D27A akan berkongsi banyak kelengkapan dengan Ativa, ada kemungkinan ia masih tidak akan hadir dengan dua kedua-dua atau salah satu fungsi hubungan tersebut. Namun dengan lebih masa pembangunan berbanding Myvi, ada kemungkinan juga fungsi tersebut dapat diberikan pada Alza baharu ini – kalau tidak pada pelancarannya nanti, mungkin untuk model-model kemaskini atau facelift kelak?

Apa kelengkapan keselamatan yang akan diberikan pada Alza?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Alza generasi pertama sememangnya sangat ketinggalan dari segi kelengkapan keselamatan memandangkan ia dibangunkan lebih sedekad yang lalu. Model generasi baharu ini bakal menyaksikan ia akan menerima sistem-sistem yang jauh lebih moden memandangkan model ini dibangunkan menerusi platform terbaharu dari Daihatsu/Toyota, serta Perodua juga kini mampu menawarkan fungsi keselamatan yang sangat canggih pada harga mampu milik seperti telah ditunjukkan model-model terkininya buat masa sekarang.

Paling asas, Alza D27A ini dijangka bakal menerima enam-beg udara (berbanding hanya dua sebelum ini) dan kawalan kestabilan elektronik secara standard untuk semua varian, sama seperti Aruz dan juga Ativa. Bagi varian lebih tinggi, Alza sudah tentu bakal menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Perodua Safety Drive Assist (PSDA).

Kami jangkakan sistem berkenaan adalah seiras dengan Ativa termasuk fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan pemantau titik buta, manakala pakej PSDA yang dibekalkan turut tampil dengan fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2 dengan teknologi cruise control adaptif serta bantuan kekal tengah lorong.

Pasti ramai yang beranggapan bahawa Alza D27A ini adalah versi downgrade dari Avanza kerana ia diberikan lencana Perodua bukan? Kalau anda nak tahu, fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2 ini tidak ditawarkan pada mana-mana varian Avanza pasaran Indonesia (tidak termasuk Veloz yang dijual pada harga jauh lebih mahal), dan ia kini sudah pun dibekalkan pada varian tertinggi AV untuk Ativa dan Myvi facelift.

Enjin dan kotak gear apa yang bakal diterima oleh Alza?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Paling jelas, Perodua mungkin akan menggunakan padanan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Avanza/Veloz/Xenia untuk Alza 2022 ini iaitu gandingan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA Dual VVT-i bersama kotak gear gear D-CVT, yang dilihat sama seperti Perodua Myvi facelift 2022.

Namun berbeza dengan Myvi yang menghasilkan 102 PS/138 Nm, enjin sama untuk versi MPV ini menerima talaan yang membolehkan ia menjana 106 PS ada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Dan tidak mustahil juga Perodua boleh membuat kejutan dengan memberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo sama seperti Ativa, memandangkan platform DNGA memang dibangunkan untuk memuatkan enjin berkenaan.

Pada Ativa, enjin tersebut menghasilkan kuasa 98 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm – tujahan tork lebih besar bermula dari putaran enjin lebih rendah ini tentu sahaja lebih padan untuk membawa tujuh orang dewasa dalam MPV dengan lebih mudah bukan?

Sama seperti Ativa, kami turut jangkakan Alza 2022 ini hanya akan ditawarkan dalam hanya satu pilihan enjin, berbanding Avanza pasaran Indonesia yang turut ditawarkan dengan varian enjin lebih kecil iaitu 1.3 liter NA bersama pilihan kotak gear manual lima-kelajuan.

Bila Alza 2022 akan dilancarkan?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Seperti yang kami sebutkan tadi, produksi untuk Alza D27A ini mungkin sudah bermula sebaik sahaja produksi model generasi sebelumnya ditamatkan. Namun tarikh pelancaran model ini tidak boleh dibuat sesuka hati atau secepat mungkin berdasarkan pelbagai faktor.

Anda tentu perasan selalunya sebaik sahaja model-model baharu Perodua dilancarkan, ia terus boleh dilihat berkeliaran di atas jalan raya seawal minggu pertama ia mula dijual secara rasmi bukan? Ini kerana Perodua sentiasa memastikan mereka sudah cukup stok yang banyak ketika satu-satu model itu dilancarkan bagi mengurangkan tempoh menunggu pelanggan.

Ditambah pula dengan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor global yang menjejaskan produksi hampir kesemua jenama automotif, ini mungkin melambatkan lagi tarikh pelancaran MPV berkenaan. Jadi untuk jangkaan selamat, Alza 2022 mungkin hanya akan dilancarkan selepas Jun, sebaik sahaja pengecualian cukai jualan (SST) tamat pada 30 Jun bagi mengelakkan ‘huru-hara’ pelanggan yang mahukan stok kereta mereka sebelum tarikh tersebut dan juga kekeliruan terhadap harga jualannya.

Berapa harga jualan Perodua Alza 2022 ini?

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Dengan teknologi terkini sama seperti yang diterima oleh Toyota dan Daihatsu, kami jangkakan harga Alza 2022 akan lebih tinggi dari model sedia ada. Ia sudah dibuktikan di Indonesia dengan kenaikan harga dilihat pada Avanza generasi baharu yang lebih moden, berbanding model generasi sebelumnya yang menggunakan casis semi-monocoque pacuan belakang dengan gandar hidup diperkenalkan sejak 2003.

Bagi model Alza generasi sebelumnya, ia dijual pada harga bermula RM49,944 bagi model 1.5 S manual, diikuti varian asas automatik berharga RM52,661 serta varian paling tinggi 1.5 AV berharga RM60,525. Dengan kelengkapan tinggi dibekalkan walaupun untuk model asas, Alza generasi kedua ini kami jangkakan akan dijual pada harga permulaan lebih tinggi berbanding model 1.5 AV generasi pertama.

Harga tersebut hampir dengan satu lagi model dengan platform DNGA iaitu Ativa, manakala varian tertinggi untuk Alza 2022 ini tidak mustahil akan melepasi RM70k. Angka tersebut masih lagi dalam lingkungan psikologi yang patut untuk sebuah Perodua, dibuktikan dengan harga jualan varian tertinggi Perodua Aruz.

Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

Sebagai perbandingan, Toyota Avanza dijual pada pasaran Indonesia bermula 233.1 juta rupiah (RM70,200) bagi model asas dengan enjin 1.3L, kotak gear manual dan hanya menerima dua beg udara. Model 1.5 G CVT pula dijual pada harga 269.8 juta rupiah (RM81,300), manakala varian paling tinggi dilengkapi enam-beg udara dan Toyota Safety Sense mencecah 295.8 juta rupiah (RM89,100).

Harga-harga tersebut adalah termasuk cukai barangan mewah yang diperkenalkan semula di republik berkenaan. Sebelum itu Avanza dijual di Indonesia dengan harga bermula 206.2 juta rupiah (RM62,100) sehingga 264.4 juta rupiah (RM79,600) yang kami rasa tak jauh beza dengan harga jualan Perodua Alza 2022 di Malaysia kelak.

Kami telah pun menulis pelbagai artikel berkenaan Perodua Alza D27A sebelum ini, yang boleh anda baca menerusi pautan-pautan berikut:

Kami akan sentiasa mengemaskini artikel ini setiap kali menerima maklumat terbaharu berkenaan Perodua Alza 2022 sebelum ia dilancarkan. Jadi jika anda benar-benar berminat untuk mengetahui perkembangannya, pastikan anda sentiasa kembali ke artikel ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • GEORGE AK BANA on May 14, 2022 at 5:53 pm

    Salam, saya mau Tanya harga perodua AlzaD27A, terkini

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 16
  • Lima tahun aircond bocor on May 15, 2022 at 7:57 pm

    Tukar cooling coil, lepas tu expansion valve, lepas tu compressor shaft seal bocor. Barang semua tak berapa kuat. Barang jenama jepun juga tapi satu kelas ke bawah.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required