Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengeluarkan kenyataan bagi menggesa penerima program Kerusi Keselamatan Kanak-kanak Bersubsidi Keluarga Malaysia (MyCRS) untuk segera membuat pembelian. Setakat ini, sebanyak 231,012 daripada 427,798 permohonan yang layak menerima subsidi ini, iaitu 20% lebih tinggi berbanding had sebanyak 188,000 penerima yang ditetapkan sebelum ini.
MIROS turut mengingatkan penerima bahawa subsidi tersebut adalah berdasarkan pembelian dan bukan kelayakan, itulah sebabnya mereka perlu membeli kerusi keselamatan kanak-kanak terbabit segera di 240 cawangan yang diiktiraf di seluruh negara, atau menerusi dalam talian. Senarai cawangan yang diiktiraf itu boleh dilihat menerusi www.mycrs.gov.my.
Semua pemohon dinasihati menyemak status permohonan mereka sekali lagi menerusi laman web MyCRS kerana data kelayakan telah dikemas kini. Jika permohonan masih tiada dalam senarai yang layak, anda boleh memfailkan rayuan secara dalam talian.
MIROS menjelaskan peruntukan subsidi bagi kerusi keselamatan kanak-kanak MyCRS ini adalah sebanyak RM30 juta dan ia terhad untuk 188,000 penerima sahaja. Setiap individu yang layak boleh menebus subsidi untuk membeli seunit kerusi Keselamatan Kanak-kanak. Diumumkan menerusi BAJET 2022, kerajaan akan memberi subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak.
Justeru, penerima digalakkan membuat pembelian secepat mungkin, iaitu dalam tempoh dua bulan dari tarikh permohonan diluluskan, untuk mengelakkan nama terkeluar daripada senarai 188,000 penerima.
“Jangan tunggu, beli sekarang,” ujar Ketua Pengarah MIROS Datuk Khairil Anwar Abu Kassim.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.