Ducati Streetfighter V2, V4 SP tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM101,900 dan RM239,900

Ducati Streetfighter V2, V4 SP tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM101,900 dan RM239,900

Dua versi baru bagi model naked Ducati Streetfighter kini sudah tiba di Malaysia, iaitu Streetfighter V2 dan Streetfighter V4 SP. Melihat kepada barisan Streetfighter yang ada, kedudukan dua versi ini agak jauh kerana Streetfighter V2 adalah versi paling asas, sementara Streetfighter V4 SP pula adalah versi paling atas. Harganya masing-masing adalah RM101,900 dan RM239,900.

Daripada namanya, kita sudah boleh tahu bahawa Streetfighter V2 menggunakan enjin Superquadro V2 955 cc yang mampu menghasilkan 153 hp pada 10,750 rpm dan 101.4 Nm tork pada 9,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan quickshifter yang didatangkan standard, tetapi nisbah pacuan akhirnya (sprocket) telah ditukar kepada 15/45 berbanding 15/43 pada Panigale V2. Lengan ayun Streetfighter V2 ini juga adalah 16 mm lebih panjang untuk memberikan lebih stabiliti.

Sebagai varian permulaan bagi modelnya, Streetfighter V2 dipasang suspensi yang terdiri daripada fork Showa BPF 43 mm di hadapan dan monoshock Sachs di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya, dan menurut Ducati, disediakan supaya boleh disesuaikan dengan keselesaan tunggangan atas jalan biasa dan boleh dilaras apabila perlu untuk tunggangan atas litar.

Brek adalah sama seperti Panigale V2, iaitu set berkembar Brembo Monobloc M4.32 bersama cakera 320 mm di hadapan, dan cakera 245 mm dengan angkup dua piston di belakang. Bagi menyesuaikan motosikal ini dengan tunggangan atas jalan biasa, pad breknya telah ditukar kepada jenis yang kurang agresif tetapi masih memberikan rasa dan prestasi yang baik.

Fungsi elektronik pada motosikal ini juga ada pelbagai, dengan termasuk tiga mod tunggangan, Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Engine Brake Control (EBC) EVO dan Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2. Model ini juga datang dengan semua lampu jenis LED serta steering damper Sachs. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 178 kg.

Pergi kepada Streetfighter V4 SP, ia nampak berbeza dengan yang utama, warna gelap yang sebenarnya mendapat inspirasi daripada jentera ujian pra musim MotoGP dan SBK Championship. Menjadikannya lebih garang, ia ditambah dengan pelbagai bahagian gentian karbon termasuk fender hadapan, sayap biplane, pelindung tumit serta pelindung klac.

Ducati Streetfighter V2, V4 SP tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM101,900 dan RM239,900

Sebagai model V4, Streetfighter V4 SP ini menggunakan enjin Desmosedici Stradale V4 1,103 cc yang berkuasa 208 hp pada 13,000 rpm dan 123 Nm tork pada 9,500 rpm, sama seperti Streetfighter V4 S, tetapi transmisi enam kelajuan dengan quickshifter DQS EVO 2 padanya telah dinaik taraf dengan klac slipper jenis kering.

Kemudiannya, ia dipasang dengan suspensi elektronik yang terdiri daripada fork Ohlins NIX30 40 mm dan monoshock Ohlins TTX36 yang kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya. Steering damper juga menggunakan unit daripada Ohlins. Brek masih lagi adalah set berkembar cakera 330 mm dengan angkup Brembo Monobloc Stylema di hadapan dan cakera 245 mm tunggal bersama angkup dua piston di belakang.

Pada bahagian keselamatan dan elektronik, ia dilengkapi dengan mod tunggangan dan kuasa, Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Slide Control (DSC), Engine Brake Control (EBC) EVO, kalibrasi tayar automatik, Ducati Power Launch serta Ducati Quick Shift EVO 2.

Mengikut spesifikasi asal, Streetfighter V4 SP mencatat berat 177 kg, tetapi kami menjangkakan bagi unit yang dipasarkan di Malaysia ia akan bertambah sedikit kerana tidak menggunakan rim gentian karbon. Ia sebaliknya diganti dengan rim forged Marchesini.

GALERI: Ducati Streetfighter V4 SP 2022


GALERI: Ducati Streetfighter V2 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required