Hujung minggu lalu, Bermaz mempertontonkan kepada awam Kia Carnival CKD untuk pertama kali. Pertama kali sejak 2020, MPV dari pengeluar Korea ini ditawarkan dalam bentuk tujuh dan lapan-tempat duduk, dengan ruang yang banyak untuk penumpang belakang.

Ini juga membawa kepada harga rasmi bagi tiga varian model CKD ini. Penawarannya bermula dengan varian 2.2D 8-tempat duduk pada RM231,229 atas jalan tidak termasuk insurans; 2.2D 8-tempat duduk High pada RM247,229; dan 2.2D 7-tempat duduk High dengan harga RM261,229. Semua harga ini termasuk SST semula.

Harga berkenaan adalah lebih tinggi berbanding model CBU 11-tempat duduk, yang ditawarkan dengan harga permulaan lebih rendah, RM196,341. Dengan bilangan tempat duduk yang banyak itu membolehkan model CBU berkenaan diklasifikasi sebagai kenderaan komersial, dan menikmati kadar cukai lebih rendah.

Untuk mengimbangi kenaikan harga itu, versi tujuh dan lapan-tempat duduk ini menyediakan ruang kabin yang lebih luas dan sususan kerusi yang lebih pelbagai. Versi lapan-tempat duduk yang lebih murah misalnya menghapuskan satu baris kerusi dan mengubah konfigurasi biasa 2-3-3-3 kepada 2-3-3 sahaja. Ini membolehkan rekaan kerusi yang berbeza digunakan untuk lebih selesa, dengan tiga kerusi saiz penuh di barisan kedua — yang dipasang dengan tali keledar tiga-poin dan bukan lagi tali keledar pangkal peha.

Sama seperti model 11-tempat duduk, kerusi di tengah boleh dilipat untuk dijadikan meja (dengan ruang cawan tersedia), walaupun ia boleh dilipat dan disimpan di tepi. Semua kerusi boleh dialih — seperti kerusi barisan kedua — dan boleh dilipat 180-darjah untuk menghadap kerusi barisan ketiga.

Ketiga-tiga kerusi di barisan kedua boleh diluncur dan direbahkan secara individu, dan lebih penting, kerusi di tengah juga boleh dipasangkan kerusi kanak-kanak Isofix. Ini bermaksud, walaupun mempunyai kurang kerusi berbanding model 11-tempat duduk, model lapan tempat-duduk ini boleh dipasangkan tiga lagi kerusi keselamatan kanak-kanak (semuanya boleh lima kerusi).

Versi tujuh-tempat duduk kurang kerusi tengah, sebaliknya menerima kerusi kapten yang lebih mewah untuk barisan kedua. Kerusi rehat premium ini tidak hanya nampak lebih padat dan gebu, yang hadir dengan perehat lengan dan kerusi larasan kuasa untuk penyandar dan ketinggian. Ia juga boleh di tolak ke depan secara manual.

Kedua-dua versi CKD ini memberikan tambahan ruang untuk barangan — dengan 627 liter, dengan kerusi barisan terakhir boleh dilipat dalam nisbah 60:40. Dengan melipat kerusi ini dengan rata, ia akan memberikan pertambahan ruang sebanyak 2,785 liter lagi.

Kelengkapan lain yang ada termasuk tujuh slot USB Type-A (satu untuk data, dua untuk pengecas di depan dan dua lagi di belakang kerusi depan, dengan dua lagi di tepi kabin untuk barisan ketiga), dua ruang cawan untuk barisan kedua dan empat ruang cawan untuk barisan ketiga. Kawalan pendingin tiga-zon juga tersedia, dengan kawalan di barisan akhir terletak di bahagian kanan bumbung barisan kedua; dengan udaranya keluar dari saluran di bumbung untuk barisan belakang berkenaan.

Walaupun dengan kelengkapan yang lebih banyak, Carnival CKD tampil hampir sama dengan model CBU. Ia lengkap dengan lampu utama LED automatik yang bersambung dengan gril, rim 18-inci jejari-Y dengan dua tona serta landasan bumbung warna perak. Perbezaan yang dapat dilihat hanyalah lampu belakang kini LED sepenuhnya, dalam kelebaran penuh — ditawarkan hanya untuk varian High.

Di dalam, model CKD datang dengan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara sebagai standard. Ia juga dilengkapi dengan paparan instrumen digital 12.3-inci, mungkin hanya untuk versi High, (versi CBU datang dengan tuil analog dan paparan multi-info 4.2-inci), walaupun skrin sentuh intotainmen 12.3-inci terus ditawarkan untuk semua.

Selebihnya kelengkapan yang ada dijangka sama dengan model CBU. Ini termasuklah sistem tanpa kunci, butang Push Start, kerusi depan larasan kuasa lapan-hala, balutan kemasan kulit buatan, pengecas tanpa wayar Qi, sistem kamera 360-darjah, penghadap matahari manual untuk pintu gelungsur dan tingkap sisi belakang serta pintu gelungsur dan pintu barangan bebas kendalian tangan.

Bagi varian High pula, ia datang dengan dua sunroof, memori untuk kerusi pemandu dan liang udara dan pemanas untuk kerusi depan, dengan versi tujuh-tempat duduk lengkap dengan kerusi balutan kulit. Dari segi keselamatan, semua model diberikan tujuh beg-udara, kawalan kestabilan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan pengingat kerusi belakang dengan sensor ultrasonik untuk mengesan penumpang di belakang.

Model High pula akhirnya turut menerima ciri keselamatan aktif Kia, Drive Wise, termasuk ciri AEB dengan pengesan lintasan trafik, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, penghindar titik buta dan perlanggaran lintasan trafik, lampu tinggi automatik dan amaran perhatian pemandu.

Sama seperti model CBU Carnival, model CKD terus menggunakan enjin 2.2 liter turbodiesel empat-silinder yang dipanggil Smartstream D2.2. Outputnya adalah 202 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, dihantar ke roda depan melalui kotak gear automatik lapan-kelajuan.