Pembangunan motosikal elektrik Project TE-1 yang melibatkan kerjasama antara Triumph Motorcycles, Williams Advanced Engineering, Integral Powertrain, dan WMG, University of Warwick kini sudah melengkapkan ujian Fasa 4, dan sedikit spesifikasinya didedahkan, sambil dikatakan sebagai jentera dua roda yang termaju bagi jenisnya di dunia.
Menurut Triumph, Project TE-1 itu sendiri bukanlah untuk dijual secara komersial, tetapi kemampuan yang dapat dibangunkan melaluinya akan diterapkan pada produk motosikal elektrik masa hadapan syarikat. Daripada perincian yang didedah, Project TE-1 dapat menghasilkan prestasi seperti Speed Triple 1200, termasuk pemetaan pendikit dan penyampaian kuasa, serta pengendalian memandangkan ia mengambil asas seperti ergonomik, geometri dan pembahagian berat seperti motosikal naked tersebut.
Kuasa yang mampu dihasilkan bersamaan dengan 175 hp, dan boleh memacu motosikal elektrik ini dari keadaan pegun hingga 100 km/j dalam masa 3.5 saat, dan 0-165 km/j dalam masa 6.2 saat. Daripada kosong, baterinya boleh dicas sehingga 80% dalam masa 20 minit sementara jarak gerak pula adalah 161 km.
Seterusnya, Triumph akan memperhaluskan lagi tetapan sistem elektronik, termasuk kawalan cengkaman serta kawalan daya angkat tayar hadapan melalui larasan pada tork motornya, bagi memastikan motosikal dapat melakukan pecutan awal dengan lebih baik, Project TE-1 juga mempunyai sistem penjanaan semula kuasa brek, yang dapat membantu kecekapan unit motor generator serta transmisi padanya, dan memberikan jarak gerak yang lebih baik. Berat motosikal ini adalah 220 kg.
“Kami sangat berbangga dapat berkongsi hasil yang positif apabila Project TE-1 tamat fasa ujian ini, di mana unit prototaip telah menjangkaui banyak sasaran dan jangkaan kami. Semua orang di dalam pasukan ini sangat teruja dengan keputusan yang kami terima bersama rakan kongsi kami, dan bagaimana projek ini nanti akan dapat membantu Triumph dalam dunia elektrik pada masa hadapan,” kata ketua pegawai eksekutif Triumph Motorcycles, Nick Bloor.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.