SYM memperkenalkan sebuah skuter baru untuk pasaran Taiwan, dipanggil sebagai MMBCU. Tiga huruf pertama dalam akronim tersebut datang daripada ular Mamba, yang dijadikan inspirasi untuk rekaan skuter ini, C adalah untuk crossover dan U adalah unik.

Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder empat injap, 158 cc dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan bersama transmisi jenis CVT. Jumlah kuasa masih belum didedah, tetapi ia boleh dijangka menjadi sekitar 15 PS dan 14.6 Nm seperti model SYM lain yang menggunakan enjin sama.

Meskipun terdapat perkataan crossover di dalam namanya, seakan mahu memberi gambaran ia ingin memberi cabaran kepada Honda ADV160, MMBCU masih kelihatan seperti skuter biasa, dengan tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang pada rim 13 incinya juga masih menggunakan tayar jenis jalan biasa.

Selain ciri moden seperti semua lampu jenis LED serta panel meter digital LCD, SYM juga telah memasang MMBCU dengan sistem brek anti kunci (ABS) two-channel Bosch serta sistem kawalan cengkaman yang dipanggil sebagai Tracking Anti-Skid System.

Perincian lain MMBCU adalah termasuk berat keseluruhan 136 kg, ruang simpanan barang bawah tempat duduk 28 liter, brek cakera hadapan dan belakang, fork teleskopik, monoshock di belakang, sistem start/stop enjin serta ruang kaki yang luas.