Harga Subaru BRZ 2022 di Malaysia naik RM20k – RM250k bagi 6MT, RM260k untuk 6AT dengan EyeSight

Harga Subaru BRZ 2022 di Malaysia naik RM20k – RM250k bagi 6MT, RM260k untuk 6AT dengan EyeSight

Harga Subaru BRZ 2022 untuk pasaran Malaysia telah disemak semula, dengan model generasi kedua tersebut kini ditawarkan pada harga RM20,000 lebih tinggi berbanding dengan yang kami laporkan pada Mac lalu. Varian manual kini berharga RM249,245, manakala harga bagi varian automatik pula mencecah RM259,245. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan termasuk cukai jualan.

Walaupun pengambilan tempahan untuk BRZ telah berjalan secara senyap-senyap sejak sekian lama, Motor Image masih belum melancarkan model tersebut secara rasmi di Malaysia. Namun begitu, model tersebut telah mula tiba dan dihantar kepada pelanggan, seperti yang dipaparkan menerusi catatan Facebook terbaru oleh Subaru Glenmarie.

Namun, unit yang dibawa masuk ke pasaran sini adalah terhad memandangkan isu masalah rantaian bekalan memberikan kesan terhadap produksi Subaru di Jepun. Model BRZ untuk Malaysia adalah import sepenuhnya (CBU) dan ia dikeluarkan di kilangnya di Gunma, bersama kembarnya, Toyota GR86, serta model terkini WRX.

Dalam tahun ini, beberapa kali pengeluar kereta ini telah menggantung seketika pengeluarannya di beberapa kilangnya di Jepun, termasuk kilang Gunma, yang turut menjejaskan pengeluaran BRZ. Situasinya sangat teruk sehingga Subaru dari Amerika secara senyap-senyap berhenti menerima tempahan model itu pada 13 Januari seperti mana yang dinyatakan dalam memo peniaga yang dilihat oleh ahli forum FT86Club. Untuk pasaran Indonesia pula, hanya 10 unit BRZ 2022 sahaja yang dibawa masuk dan ia habis terjual dalam tempoh sejam selepas dilancarkan dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang berlangsung baru-baru ini.

Untuk unit BRZ yang sampai ke pasaran Malaysia ini, kedua-dua varian menampilkan transmisi enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang dan dijanakan oleh enjin 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder flat (boxer) dengan hamburan kuasa 237 PS (234 hp) pada 7,000 rpm dan tork 250 Nm pada 3,700 rpm.

Bagi prestasinya, varian automatik mengambil masa 6.8 saat untuk mendapatkan pecutan dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimumnya mampu cecah 216 km/j. Manakala untuk varian manual, untuk pecutan 0-100 km/,ia mengambil masa 6.3 saat untuk mencapainya dan kelajuan maksimum pula dicatatkan pada 226 km/j.

Risalah spesifikasi Subaru BRZ 6AT (kiri), 6MT (kanan); klik untuk besarkan

Untuk kelengkapan, ia memiliki ciri yang seiras, dengan diberikan roda aluminium 18-inci bersama kemasan kelabu gelap, sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kluster instrumen digital tujuh-inci, pedal sport aluminium, beberapa mod pemanduan, tempat duduk upholstery dengan kombinasi kulit dan Ultrasuede serta stereng yang responsif dan lampu utama LED automatik.

Bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi tujuh beg udara, VSC, ABS, EBD, bantuan mula mendaki dan Subaru Rear Vehicle Detection (pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang). Walau bagaimana pun, varian automatik menerima ciri tambahan termasuk pedal penukar gear dan sistem keselamatan aktif EyeSight yang merangkumi kawalan kelajuan aktif, kepekaan ketibaan kenderaan hadapan, brek kecemasan sendiri (hadapan dan belakang) dan false start suppression control.

BRZ ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Ignition Red, Magnetite Grey Metallic, Sapphire Blue Pearl, World Rally Blue Pearl, Crystal Black Silica, Crystal White Pearl dan Ice Silver Metallic. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km.

GALERI: Subaru BRZ 2021 (pasaran Jepun)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required