PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) telah melancarkan satu pilihan warna baru untuk Satria F150 (juga dikenali sebagai Raider R150 di negara kita) pasaran Indonesia, melibatkan gabungan warna Solarize Silver dan Met. Triton Blue, menghasilkan penampilan seperti jentera MotoGP Suzuki.
Harga versi warna baru yang dipanggil sebagai Special Edition ini adalah 29.9 juta rupiah (RM9,094), dan menjadikan ia sedikit lebih mahal berbanding model warna biasa sebelum ini yang dijual pada harga 28.15 juta rupiah (RM8,564) di negara tersebut.
Bahagian mekanikal dan spesifikasi motosikal ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 147.3 cc DOHC, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan 18.4 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.
Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera depan dan belakang, berat 109 kg, tangki bahan api 4.0 liter, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.
Di Malaysia, Suzuki Raider R150 dilancarkan Mac lalu pada harga RM8,173, dan disediakan dalam pilihan dua warna iaitu hitam/merah dan juga biru matte. Spesifikasinya juga adalah sama seperti Raider dan Satria 150 yang dijual di negara luar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.