Ini adalah galeri penuh BMW 330i M Sport Runout Edition, iaitu satu daripada dua varian edisi terhad yang dilancarkan oleh BMW Malaysia untuk 3 Series G20 Julai lalu. Harga yang ditetapkan untuk model ini adalah RM288,680, menjadikannya RM5,000 lebih tinggi berbanding 330i M Sport, yang dijual pada harga RM283,680.
Ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans, dan diberikan bersama jaminan selama dua tahun, dan jika anda mahukan jaminan serta pakej servis lima tahun, harga 330i M Sport Runout Edition ini akan menjadi RM304,800.
Dengan harga RM5,000 lebih tinggi daripada varian biasa ini, 330i M Sport Runout Edition menerima beberapa tambahan ciri seperti sistem bunyi Harman Kardon, serta bumbung suria yang boleh dibuka secara elektronik.
Pada bahagian lain, 330i M Sport Runout Edition ini turut dipasang dengan rim M Style 791 19 inci (satu inci lebih besar daripada varian biasa. Warna badan yang ditawarkan untuknya adalah termasuk Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey dan M Portimao Blue, dengan bahagian dalam kesemuanya menggunakan kemasan kulit Vernasca Black.
Senarai kelengkapan lain adalah sama seperti 330i M Sport, termasuk lampu utama LED adaptif, pakej penggayaan M Sport, brek M Sport dengan angkup warna biru, suspensi M Sport, kemasan dalam Aluminium Tetragon dan Pearl Chrome, BMW Live Cockpit Professional dengan panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh 10.25 inci, servis ConnectedDrive, Comfort Access, pengawal suhu tiga zon dan lampu suasana.
Turut disediakan adalah Driving Assistant (Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan fungsi membrek, Rear Cross-Traffic Alert dan Rear Collision Prevention), Attentiveness Assistant, cruise control dengan fungsi membrek, Parking Assistant, Reversing Assistant serta kamera undur.
Untuk bahagian mekanikal, model ini masih menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 258 PS (255 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda belakang.


BMW 3 Series
dari RM 265,800
BMW iX1 L
dari RM 252,800
BMW iX
dari RM 425,800
BMW X3
dari RM 325,800
BMW M5
dari RM 1,188,800
BMW M4 Coupe
dari RM 878,800
BMW 2 Series Gran Coupe
dari RM 218,800
BMW 3 Series M
dari RM 388,800
BMW i4
dari RM 294,800