BMW Motorrad M1000RR dan M1000RR M Competition diperkenal – pakej aerodinamik gentian karbon, 212 hp

BMW Motorrad M1000RR dan M1000RR M Competition diperkenal – pakej aerodinamik gentian karbon, 212 hp

Selepas memberikan peningkatan kepada S1000RR, BMW Motorrad kini memperkenalkan pula superbike M1000RR dan M1000RR M Competition. Seperti yang boleh dilihat daripada huruf ‘M’ yang terdapat padanya, model ini dibangunkan untuk tujuan perlumbaan, serta menguatkan lagi aspirasi jenama tersebut dalam perlumbaan World Superbike Championship (WSBK).

Pakej aerodinamik motosikal ini telah diperbaiki, dengan ia kini dapat memberikan lebih daya tolak ke bawah termasuk waktu motosikal condong mengambil selekoh. Ia juga membawa kepada laju maksimum yang lebih tinggi, iaitu 314 km/j, daripada 306 km/j.

Anda boleh melihat kejuruteraan aerodinamik M pada motosikal ini melalui winglet baru, penutup roda hadapan dengan salur angin brek bersepadu (untuk kedua-dua versi), dan M Aero Wheel Covers (untuk M1000RR M Competition sahaja). Penghadang angin hadapan yang lebih tinggi memberi lebih perlindungan angin kepada penunggang, sementara fairing baru padanya pula dibuat daripada gentian karbon.

Barangan lain yang diberikan secara standard adalah rim M Carbon, yang diperkemas dengan cat lutsinar (clear lacquer), serta pelekat yang tertulis BMW Motorrad M. Untuk lebih prestasi, pemilik boleh mendapatkan rim forged lightweight yang dijual secara berasingan.

Pada bahagian enjin, unit empat silinder daripada S1000RR telah diubahsuai dengan sistem salur udara yang lebih pendek, bersama corong yang dibuat secara CNC, connecting rod titanium Pankl – lebih panjang tetapi 85 gram lebih ringan – serta piston forged yang membolehkan ia dikerah sehingga 14,500 rpm dan menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp dan 113 Nm pada 11,000 rpm.

Sistem ekzos turut menyumbang kepada pengurangan berat motosikal ini, dengan penggunaan manifold serta ekzos titanium. Sistem bantuan elektronik penuh diperlengkapkan pada M1000RR, termasuk tujuh mod tunggangan.

Selain Dynamic Traction Control (DTC) dan Wheelie Control, M1000RR juga membenarkan pelarasan dua mod pada pendikit manakala pelarasan engine braking boleh dilakukan dalam mod Race Pro. Quickshifter yang boleh digunakan untuk turun dan naik gear datang secara standard (boleh ditukar untuk tetapan biasa dan race), bersama Launch Control dan pengehad kelajuan dalam pit.

Sekiranya memilih model M Competition, motosikal akan dinaik taraf dengan M GPS Laptrigger dan kod pengaktifan, pakej barangan milled M, pakej M Carbon serta lengan ayun 220 gram lebih ringan. Pakej ini juga termasuk dengan rantai DLC-coated M Endurance serta penutup tempat duduk penumpang.

Melengkapkan senarai barangan motosikal prestasi ini adalah bateri M serba ringan, soket pengecas USB, lampu LED, cruise control dan pemanas tangan. Pilihan warna yang diberi untuk M1000RR adalah Lightwhite, sementara M1000RR M Competition pula disediakan dalam warna Blackstorm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required