BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

Untuk meraikan ulangtahun ke-50 divisi perlumbaan dan sayap prestasi M Division, BMW telah pun memperkenalkan model kelahiran semula salah satu jentera lumba lagendanya pada era 70’an, iaitu BMW 3.0 CSL untuk versi 2023. Model ini akan dihasilkan hanya 50 unit; BMW masih belum mengumumkan harganya, namun khabar angin mengatakan ia bakal dijual pada harga bermula 700,000 euro (RM3.3 juta).

Bagi peminat BMW, nama “3.0 CSL” ini bukanlah asing – ia adalah model homologasi istimewa Coupé Sport Leichtbau (Coupe Sport Lightweight) dengan gelaran “Batmobile” (kerana diberikan kit aerodinamik agresif termasuk fender lebar dan sayap belakang gergasi) yang dihasilkan untuk perlumbaan European Touring Car Championship bermula musim 1973, diasaskan dari model E9 Coupe.

Manakala untuk model 3.0 CSL 2023 ini, ia diasaskan dari coupe prestasi BMW M4, kemudian turut diberikan kit aerodinamik yang lebih radikal, bersama talaan kuasa dan prestasi lebih baik.

BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

Pada sebelah luar, 3.0 CSL moden ini jelas menerima pengaruh penuh dari jentera lumba 3.0 CSL asli. Walaupun diasaskan dari M4, hanya lampu hadapan yang nampak serupa pada bahagian muka CSL ini – ia menerima bampar dengan gril kidney dengan rupa lebih unik, serta penutup bonet lebih kembung.

Manakala fender yang lebih lebar direka seakan sebahagian dari bonet dan juga bampar hadapan. Ia juga diberikan dua spoiler belakang – satu pada penutup but dan satu lagi pada bahagian bumbung.

Menurut BMW, hampir kesemua komponen badan 3.0 CSL ini dibuat dengan tangan, menggunakan material gentian karbon bagi mengurangkan beratnya. Komponen-komponen tersebut termasuk bahagian bumbung, bonet hadapan dan penutup but belakang, kemasan-kemasan panel dan bendul sisi, serta diffuser dan spoiler belakang.

Tidak cukup dengan itu, spoiler belakangnya diperbuat dari plastik perkuat gentian kaca, manakala muffler ekzos sebelah belakangnya pula menggunakan material titanium yang 4.3 kg lebih ringan dari muffler logam biasa.

Berat pada set roda juga diberi perhatian di mana BMW 3.0 CSL ini menerima rim aloi forged yang direka sama seperti kereta lumba yang menampilkan hanya satu nat pada bahagian tengah, dengan diameter 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang. Rim-rim tersebut dibalut dengan tayar Michelin yang direka khas untuknya, menampilkan nombor 50 pada dinding sisi tayar tersebut.

BMW 3.0 CSL ini hanya ditawarkan dalam satu warna badan iaitu Alpine White, dan datang standard dengan livery perlumbaan BMW M seakan sama dengan jentera lumba 3.0 CSL 1973. Menurut BMW, hampir keseluruhan grafik badan tersebut dibuat dengan tangan, melibatkan 22 bahagian komponen di cat dan mengambil masa selama enam hari bekerja untuk disiapkan.

BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

Walau bagaimanapun, kabin 3.0 CSL ini masih kelihatan seiras dengan dengan kabin M4, tetapi ia menerima lebih banyak komponen-komponen buatan tangan yang diperbuat dari material plastik diperkuata gentian karbon (CFRP). Ia juga diberikan tempat duduk bucket penuh karbon M, upholsteri Alcantara, tali pingging keledar M, pelapik bumbung antrasit serta serlahan-serlahan kontras lain.

Sebagai model edisi terhad, plak nombor siri istimewa bersama lencana khas turut diberikan pada kabin 3.0 CSL ini. Ia juga menerima tombol gear istimewa berwarna putih yang diberikan logo “50” dan juga diagram tukaran gear yang diukir.

Tiada pilihan kotak gear automatik diberikan pada 3.0 CSL ini, dan ia hanya datang dalam versi manual enam-kelajuan. Menurut BMW, ini kerana model ini direka bagi memberikan “keseronokan memandu pada tahap maksimum dan interaksi yang intensif antara pemandu dan kereta”. Kuasa dari enjin dihantar hanya ke roda belakang, dengan gandar yang turut menerima unit Active M Differential.

Model ini masih menggunakan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris, ditala bagi menghasilkan 560 PS (553 hp atau 412 kW) dan tork maksima 550 Nm. Berbanding model paling berkuasa M4 iaitu M4 CSL, enjin pada 3.0 CSL ini menghasilkan kuasa 10 hp lebih besar tetapi tork 100 Nm lebih rendah (mungkin kerana kotak gear manual yang diberikan), membolehkan ia memegang takhta sebagai model produksi BMW dengan enjin enam-silinder paling berkuasa pernah dihasilkan yang sah untuk kegunaan jalan raya.

Menurut BMW lagi, model 3.0 CSL 2023 ini menampilkan nisbah kilogram-kepada-kuasa kuda hanya 2.9, dan ia adalah jauh lebih baik dari 3.0 CSL asli yang mencatatkan nisbah 6.2.

Perincian prestasi lain yang turut diberikan pada BMW 3.0 CSL ini termasuk suspensi Adaptive M, sistem stereng nisbah bervariasi M Servotronic yang diperhalusi semula, cagak-cahak casis yang diubah bagi memberikan rasa dan tindak balas lebih baik, dan sistem brek karbon seramik boleh laras M.

BMW menyatakan bahawa proses produksi 3.0 CSL 2023 ini perlu melalui lapan kitaran pemasangan serta pelbagai stesen produksi, dan sebuah kereta memerlukan masa 10-hari untuk disiapkan. Jadi tidak hairanlah model edisi terhad ini dijual pada harga yang begitu mahal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required