Proton sudah hasilkan 10,000 unit enjin 1.5 T-GDi di Tanjung Malim; sasar produksi 60k unit pada 2023

Proton sudah hasilkan 10,000 unit enjin 1.5 T-GDi di Tanjung Malim; sasar produksi 60k unit pada 2023

Hanya selepas tujuh bulan memulakan produksi pada April 2022, Proton mengumumkan bahawa kilang enjinnya di Tanjung Malim sudah pun menghasilkan unit yang ke 10-ribu enjin 1.5 T-GDI pada 1 Disember lalu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton menyatakan bahawa ia menyasarkan untuk memasang sejumlah 60,000 unit enjin pada tahun hadapan, bagi dipadankan pada pelbagai model Proton yang lain.

“Barisan enjin baharu Proton adalah bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat kami. Ia adalah salah satu barisan pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran iklim terkawal dan pelbagai gerbang ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya. Pada 2023 kami menyasarkan pengeluaran 60,000 enjin, yang akan digunakan merentasi beberapa model Proton,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

Dengan sasaran penegluaran yang begitu tinggi, ini bermakna untuk tahun 2023 kilang berkenaan mungkin turut akan memasang enjin 1.5L tiga silinder turbo tanpa sistem GDI untuk X50 varian premium dan ke bawah, serta mungkin juga akan menghasilkan enjin untuk model-model baharunya seperti X90 dan juga sedan S50 iaitu model gantian untuk Proton Preve.

Barisan produksi enjin baharu ini merupakan sebahagian komitmen Proton untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim dengan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion, dan ia selaras dengan teras strategik pertama program DRB-HICOM Automotive High Technology Valley (AHTV) yang bertujuan memaksimumkan aktiviti pembuatan di rantau ini.

Namun syarikat berkenaan terpaksa berhadapan dengan cabaran yang besar selepas keputusan pelaburan dengan jumlah yang banyak tersebut diambil pada 2019. Ini kerana sebaik sahaja rancangan untuk meningkat taraf barisan pemasangan enjin itu dibuat, pembinaan dan penghantaran komponen telah ditangguhkan berikutan permulaan pandemik Covid-19.

Menurut Proton, projek telah dijayakan oleh sepasukan jurutera tempatan yang berpusat di Tanjung Malim untuk memulakan kerja pemasangan. Pasukan tersebut bekerjasama melalui perisian mesyuarat maya dengan pasukan daripada pembekal peralatan dan Geely di China, serta melakukan kerja dari peringkat asas termasuk membuka kotak komponen, memetakan barisan pengeluaran sehingga memulakan kerja pemasangan awal.

Dengan memasang enjin 1.5 T-GDI (dikenali dengan kod dalaman GEP3 atau Global Engine Petrol 3) tersebut di Fasiliti Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim, dengan barisan pemasangan meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi ini, secara tidak langsung membolehkan model SUV X70 kini mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 70%.

Barisan produksi milik Proton ini juga merupakan fasiliti pertama diluar China yang memasang enjin 1.5L Turbo yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo tersebut. Secara keseluruhan, 30% kandungan dalam enjin 1.5L GEP3 yan dipasang di Tanjung Malim ini dibekalkan oleh vendor dari Malaysia. Secara spesifik, 72 komponen dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia, dan turut melibatkan 4 vendor dari Rantau ASEAN.

Proton menyatakan bahawa kelengkapan pada fasiliti ini adalah hampir sama dengan kelengkapan pemasangan enjin di Kilang Enjin Baoji Geely di China, menampilkan tahap automasi yang mencapai tahap 47% menggunakan etos IR 4.0; ia mempunyai 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual.

Kilang ini sentiasa dalam persekitaran yang bersih dengan suhu bilik yang terkawal dan mempunyai stesen anti-statik untuk membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi. Ia juga dibina dengan sasaran untuk membangunkan bakat-bakat tenaga kerja baharu, di mana ia dioperasikan oleh 202 pekerja dengan usia purata hanya 24-tahun.

Barisan pemasangan baharu in menggunakan sistem talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar yang bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

Apa yang menarik lagi, kawalan kualiti pada barisan pemasangan ini menggunakan teknologi Internet of Things (IOT). Dengan teknologi ini, setiap data-data bacaan kualiti yang diambil pada komponen yang telah dipasang pada setiap stesen akan dikumpulkan secara intensif dan dianalisis untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian yang diperlukan dan dikekalkan.

Data-data berkenaan turut dikutip oleh 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi yang dipasang pada barisan pengeluaran untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti dengan keupayaan pengesanan kecacatan dengan kadar segera.

Semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required