Chery Omoda 5 dijangka dilancarkan di pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun hadapan, dan SUV ini akan didatangkan dalam bentuk pemasangan tempatan. Sekaligus menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama unit pacuan sebelah-kanan (RHD) bagi Omoda 5, menurut kenyataan yang disahkan oleh timbalan presiden Chery International, Shawn Xu, yang juga merupakan presiden bagi pasaran ASEAN untuk jenama ini.

Dipertontonkan di Malaysia pada Oktober lalu, Omoda 5 menjadi antara SUV dari Chery yang bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia, bersama barisan SUV lain termasuk Tiggo 7 Pro and Tiggo 8 Pro.

Dalam majlis rasmi pertama sekembalinya ke pasaran malaysia, Chery turut mempertontonkan SUV ini selepas pengeluar kereta dari China ini pernah mengumumkan keputusannya untuk melancarkan semula jenama tersebut di sini.

Pada masa ini, semua kerja kajian dan pembangunan untuk model Chery pacuan sebelah-kanan dilakukan di luar China, dan telah ditetapkan untuk dilaksanakan di Malaysia serta menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi rantau ASEAN serta pasaran pacuan sebelah-kanan. Pelaksanaan ini turut melibatkan pelan pelaburan awal bernilai RM170 juta, ujar syarikat tersebut kepada paultan.org.

Berkenaan dengan arah pemasaran ASEAN bagi jenama ini, paultan.org difahamkan bahawa Chery memilih Malaysia sebagai pusat operasi ASEAN berbanding Thailand disebabkan beberapa alasan.

Pembuat kereta tersebut mendapati penerimaan pasaran bagi jenama yang berasal dari China adalah tinggi berikutan penggabungan Geely-Proton, di samping itu pasaran Malaysia mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi.

Selain itu, pelbagai insentif kerajaan juga menjadikannya kondusif untuk Chery mengendalikan pangkalan serantaunya di Malaysia, di mana syarikat ini mendapati ia sangat mengalu-alukan pelaburan baharu.

Chery Omoda 5 merupakan SUV segmen-B yang bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Proton X50. Berukuran 4,400 mm panjang dan 1,830 mm lebar menjadikan Omoda 5 ini lebih panjang sebanyak 15 mm dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V. Walau bagaimana pun, Omoda 5 berketinggian 1,585 mm atau kuran 5 mm berbanding HR-V, tetapi dengan jarak roda yang lebih penjang sebanyak 20 mm iaitu 2,630 mm.

Di China, sebanyak tujuh varian dilancarkan, termasuklah dengan enjin 1,6 liter turbo petrol (194 hp/290 Nm) dengan DCT tujuh-kelajuan dan unit 2WD 1.5 liter turbo petrol yang dipadankan dengan CVT untuk model pembakaran dalaman. Selain itu, versi elektrik sepenuhnya turut ditawarkan, dan ini mungkin bakal diperkenalkan di Malaysia, susulan perancangan Chery untuk mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi versi plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya.

GALERI: Chery Omoda 5 dipertonton di Malaysia