Sebelum ini anda mungkin pernah membaca kisah Along dan anaknya yang melakukan pengembaraan dunia menggunakan Perodua Kelisa milik mereka. Kini, tiba giliran Perodua Kancil pula membuat percubaan yang hampir sama: perjalanan sekitar 5,000 km ke sempadan China yang dilakukan oleh dua orang sahabat, Rushafizi Indrus, 41, dan Nor Azman Musa, 41.
Mereka berdua akan terlibat di dalam perjalanan sempena Kembara Anak Perlis Ke Sempadan China 2022, yang telah bermula dua hari lalu dan bakal menelusuri dua negara ASEAN untuk ke sana, lapor Utusan Malaysia. Mereka memulakan perjalanan melalui pintu sempadan negara di Wang Kelian menuju Thailand dan Laos.
Kepada yang berminat untuk mengikuti perkembangan perjalanan tersebut, mereka berdua ada kongsikan hantaran kemaskini dan juga gambar-gambar dari kembara berkenaan melalui laman Facebook Kami Mengembara.
Pada 2015, Rushafizi pernah melakukan perjalanan ke Laos dengan menunggang motosikal berkuasa rendah. Dari situ, idea untuk memandu Kancil ke sana terbit, yang sedang dilakukan ketika ini. Menurut mereka, kembara ini adalah bertujuan untuk memberi inspirasi kepada anak muda bagi meningkatkan semangat dan jati diri dalam mendepani cabaran dalam hidup.
“Kami juga mahu membuktikan bahawa dengan kenderaan lama seperti Perodua Kancil 660cc ini juga mampu sampai ke sempadan negara China,” katanya. Beliau yang juga merupakan seorang guru berkata, kos bagi perjalanan ini pula adalah daripada simpanan sendiri, dan disertai juga oleh beberapa tajaan daripada pihak lain.
Dalam hantaran Facebook terkini, mereka berkongsi gambar dan pengalaman perjalanan pada hari pertama, dari Suratthani menuju Bangkok.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.