Tempahan BYD Atto 3 di Malaysia sudah mencecah 1,000 unit hanya dalam 10 hari selepas dilancarkan

Tempahan BYD Atto 3 di Malaysia sudah mencecah 1,000 unit hanya dalam 10 hari selepas dilancarkan

Model SUV elektrik penuh yang juga model pertama diperkenalkan oleh gergasi automotif China, BYD pada pasaran Malaysia iaitu BYD Atto 3 kini sudahpun menerima tempahan mencecah 1,000 unit hanya selepas 10 hari dilancarkan pada pasaran tempatan.

Jenama ini di bawa ke Malaysia oleh BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, satu lagi cabang Sime Darby Motors) dengan pelancaran yang dibuat pada 8 Disember lalu. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Atto 3 Standard Range (SR) dijual pada harga RM149,800, dan juga Atto 3 Extended Range (ER) dijual pada harga RM167,800.

BYD SDM turut menawarkan pakej pengenalan khas ketika pelancaran Atto 3 tempoh hari yang memberikan pengecas rumah mudah alih dan kabel V2l secara percuma serta kredit pengecasan awam bernilai RM1,000.

Bagi model Atto 3 SR, ia datang dengan bateri berkapasiti 49.92 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 410 km dalam kitaran NEDC (345 km kitaran WLTP) untuk satu cas penuh. Manakala Atto 3 ER pula menerima bateri berkapasiti 60.48 kWj membolehkan ia dipandu sejauh 480 km dalam kitaran NEDC (420 km kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.

Atto 3 menerima unit bateri Blade yang dibangunkan sendiri oleh BYD, dan ia turut dibekalkan kepada pengeluar EV lain termasuk Tesla dan Toyota.

Kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menerima konfigurasi motor elektrik yang sama iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm, diletakkan pada bahagian hadapan untuk memacu hanya roda hadapan. Ini membolehkan kedua-dua varian ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

Model ini diasaskan dari e-Platform 3.0 juga dibangunkan sendiri oleh BYD menggunakan seni bina elektrikal 400V. Ia menyokong pengecas AC sehingga 7 kW dengan penyambung Type 2, serta pengecas pantas DC dengan kadar 70 kW (SR) dan 80 kW (ER) menggunakan penyambung CCS2, membolehkan kadar cas 0-80% dipenuhkan dalam masa 45 minit. Atto turut mampu untuk membekalkan kuasa elektrik bagi kegunaan luar menerusi fungsi V2L.

Kedua-dua varian Atto 3 pasaran Malaysia ini menerima kit kelengkapan standard seperti bumbung panaromik, cermin sisi dengan pemanas, paparan instrumen digital dengan skrin 5.0-inci, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala (empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan), kamera 360-darjah, pemantau tekanan tayar, brek parkir elektrik dengan fungsi auto hold, lampu hadapan LED adaptif dan lampu belakang LED.

Tempahan BYD Atto 3 di Malaysia sudah mencecah 1,000 unit hanya dalam 10 hari selepas dilancarkan

Atto 3 ER dan SR ini juga menerima skrin sesentuh 12.8-inci yang boleh diputar untuk kedudukan landscape atau potret, enam pembesar suara, sistem pendingin hawa automatik, dashcam bina-dalam dan juga kad kunci NFC. Aplikasi Spotify juga sudah tersedia, manakala sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar bakal diterima dengan kemaskini perisian pada suku kedua 2023 nanti.

Selain jarak gerak yang lebih jauh, varian ER turut menerima kit tambahan seperti pintu tailgate belakang bantuan kuasa, lampu suasana kabin dengan pelbagai warna dan mengikut irama pada pintu (hanya satu warna pada SR), lapan pembesar suara dengan sistem bunyi “Dirac HD”, penuras udara kabin PM2.5 dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Model ER ini juga menerima rim 18-inci dengan tayar 215/55R18, berbanding Atto 3 SR yang hanya diberikan set rim 17-inci dengan tayar 215/60R17.

Untuk keselamatan, Atto 3 pasaran Malaysia menerima tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, brek ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

Kedua-dua varian SR dan ER menerima senarai kelengkapan keselamatan yang sama, dan BYD Atto 3 sudahpun menerima penarafan keselamatan lima-bintang dari Euro NCAP.

BYD Atto 3 ini juga datang dengan waranti lengkap terdiri dari waranti pengeluar selama enam-tahun atau 150,000 km, waranti bateri EV Blade selama lapan-tahun atau 160,000 km, waranti untuk unit pacuan (motor elektrik, pengawal motor elektrik, pemasangan DC dan pemasangan kawalan elektrik) selama lapan-tahun atau 150,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required