April lalu, Datuk Seri Wee Ka Siong yang ketika itu masih memegang jawatan Menteri Pengangkutan mengumumkan bahawa kementeriannya akan menambah lebih banyak unit kios layan diri JPJ di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, bukan sahaja diletakkan di cawangan-cawangan JPJ, malah ia turut akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti di pejabat kerajaan di beberapa kementerian, di stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang.

Nampaknya kios tersebut sudahpun berada di stesen MRT; pengguna Facebook bernama Nevin Sulau Sansom telah pun membuat hantaran di FB Group paultan.org Automotive/Car Discussion bahawa dia baru sahaja menggunakan mesin layan diri tersebut yang diletakkan di stesen MRT Bukit Bintang.

Nevin tidak memperincikan apa perkhidmatan yang dia gunakan pada kios berkenaan, namun dia ada menunjukkan sijil pemilikan kenderaan (VOC) yang baru sahaja dicetak semula.

Menerusi pengalaman kami sendiri yang pernah menggunakan kios layan diri JPJ ini yang diletakkan di JPJ cawangan UTC Selangor, Seksyen 14 Shah Alam sebelum ini, mesin berkenaan dapat memberikan hampir kesemua urusan yang ditawarkan di kaunter fizikal sebenar JPJ.

Antara perkhidmatan tersebut termasuk memperbaharui cukai jalan dan Lesen Kenderaan Motokar/Motosikal (LKM), mencetak semula VOC, membayar saman trafik serta memberikan maklumat yang diperlukan berkaitan dengan lesen memandu, insurans kenderaan dan lain-lain.

Anda masih lagi perlu beratur untuk menggunakannya, tetapi ia mengambil masa yang jauh lebih singkat berbanding melakukan urusan yang sama di pejabat pos atau kaunter fizikal biasa. Bagaimana untuk memperbaharui lesen memandu ataupun cukai jalan (roadtax) menggunakan kios ini? Anda boleh baca pada artikel khas yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

GALERI: Kios JPJ di JPJ cawangan UTC Selangor, Seksyen 14 Shah Alam