Tiga lagi rakyat Malaysia dikesan guna ‘Lesen Terbang’ di Australia; ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah

Tiga lagi rakyat Malaysia dikesan guna ‘Lesen Terbang’ di Australia; ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah

April lalu seorang rakyat Malaysia telah ditahan oleh Peronda Trafik dan Lebuhraya Polis New South Wales, Australia dan dikesan menggunakan lesen memandu palsu Malaysia. Nampaknya itu bukan satu-satunya kes rakyat Malaysia memandu menggunakan ‘Lesen Terbang’ di sana, kerana pada September lalu pihak berkuasa yang sama telah menahan tiga lagi rakyat Malaysia yang membuat kesalahan sama dalam masa 24 Jam!

Menurut hantaran laman Facebook Peronda Trafik dan Lebuhraya Polis NSW, kes pertama dikesan pada 17 September 2022 pukul 2.30 petang. Dalam kes ini seorang rakyat Malaysia berumur 42 tahun yang menetap di Mildura memandu Holden Cruze 2009 di tahan di Mid Western Highway berhampiran Rankins Springs.

Ketika diminta untuk menunjukkan lesen memandu, lelaki berkenaan mengeluarkan kad yang nampak sama seperti lesen memandu Malaysia. Namun selepas diperiksa menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, lelaki tersebut sebenarnya hanya mempunyai lesen sebenar untuk menunggang motosikal dan ia telah tamat tempoh pada tahun 2005, tetapi pada lesen palsunya tertera kelas B dan D dan sah sehingga 2026.

Pemeriksaan lanjut mendedahkan bahawa dia tidak pernah memegang sebarang lesen dalam mana-mana kelas dan di mana-mana negeri atau wilayah Australia. Jabatan Imigresen turut dihubungi dan mendedahkan beliau telah menetap di Australia dengan visa sementara sejak enam tahun lalu.

Kes kedua pula dikesan pada pukul 12.03 petang 18 September 2022, melibatkan dua orang rakyat Malaysia yang masing-masing memandu Nissan X Trail 2003 berwarna biru dan Toyota Tarago (Estima di Malaysia) 2001 berwarna perak. Kedua-dua kenderaan itu dilihat dipandu rapat antara satu sama lain dan diarahkan untuk berhenti di tepi jalan oleh pegawai Peronda Lebuhraya Griffith di Burley Griffin Way, Ardlethan.

Pemandu Nissan X-Trail merupakan lelaki rakyat Malaysia berumur 34 tahun, manakala seorang lagi juga merupakan lelaki rakyat Malaysia berumur 22-tahun dan kedua-duanya menetap di Junee. Kedua-dua mereka mengeluarkan lesen memandu Malaysia setelah diminta oleh pegawai yang bertugas, tetapi berjaya dibuktikan sebagai lesen palsu selepas diperiksa menerusi laman sesawang JPJ.

Kedua-dua lelaki berkenaan bukan sahaja tiada rekod memegang mana-mana lesen dalam mana-mana kelas di Malaysia, malah di mana-mana negeri atau wilayah Australia. “Kawan saya buatkan ini untuk saya, untuk membolehkan saya memandu di Australia,” kata lelaki yang memandu Toyota Tarago tersebut dan dia turut menunjukkan pasport Malaysia miliknya.

Jabatan Imigresen turut dihubungi dan mendedahkan kedua-duanya telah menetap di Australia dengan visa sementara selama beberapa tahun.

Ketiga-tiga pemandu dari Malaysia berkenaan telah diberikan notis kehadiran mahkamah untuk menghadiri Mahkamah Tempatan Griffith pada 7 Disember 2022 untuk disabitkan dengan beberapa kesalahan termasuk memiliki dokumen palsu untuk mempengaruhi penjawat awam menjalankan tugas dan memandu tanpa lesen memandu – kesalahan kali pertama. Polis turut telah menyerahkan butiran kes ini kepada Jabatan Imigresen untuk semakan terhadap visa ketiga-tiga mereka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required