Ingat lagi dengan rekaan konsep Myvi generasi terbaru yang pernah dihasilkan oleh Saharudin Busri? Ketika itu, beliau merasakan penampilan Perodua Myvi yang ada terlalu “sibuk” dengan garis-garis tajam dan berketul yang terserlah dengan agak ketara, dan beliau tampil dengan pendekatan yang lebih bersih.

Rekaan ini dapat dilihat dalam rekaan Myvi merah yang ditunjuk itu, dan ia selari dengan perkembangan rekaan yang kebanyakannya diterapkan pada model-model kenderaan EV sekarang, dengan imej dan garis badan yang lebih ringkas dan kemas — hal yang sama misalnya banyak mengambil inspirasi daripada rekaan kenderaan terkini Volvo.

Terbaru, beliau menampilkan sebuah lagi versi Myvi generasi keempat, melalui laman Facebook Saharudin Design, yang menurut beliau sebuah rekaan sebelum ini yang di render semula. Ia menampilkan unit warna putih dan kemaskini perincian pada rekaannya — yang agak berbeza daripada versi yang pernah ditunjuk dalam warna merah tersebut.

Pertama sekali, rekaan Myvi terbaru ini nampak lebih sporty, dan lebih menghampiri versi nyata. Namun, ia tetap dengan elemen canggih dan moden, misalnya seperti yang dapat dilihat pada rekaan lampu depan bentuk bulat yang diletak di dalam perumah yang tirus dan tajam.

Di atas hud depannya juga kini kelihatan seperti ada benjolan dengan dua jalur yang menekankan imej sporty itu. Di antara lampu depan kiri dan kanan pula ada jalur hitam yang menghubungkannya. Bukaan gril sedikit rendah ke bawah, dengan logo Perodua di tengah kemasan krom melintang. DRL LED juga terletak kemas di sisi bawah, dengan bahagian apron dan spoiler di bamparnya sekali.

Bahagian tepi nampak agak menarik; ada kemasan seperti bukaan udara di belakang fender dan dilanjutkan ke pintu. Pintu belakang juga kemas tampa pemegang yang kelihatan. Bahagian belakang hatchback ini pula mengingatkan kita kepada bahagian belakang Hyundai i30 yang pernah ada sebelum ini — ringkas, tidak terlalu banyak garisan bersegi, cermin belakang agak kecil serta rekaan lampu yang nampak jelas dan besar. Lencana Myvi AV juga ada diletakkan di situ, dan tak lupa, muncung ekzos berkembar untuk melengkapkan imej ranggi kereta ini.

Kalau ini adalah bayangan kepada Myvi versi prestasi, atau mungkin paling hampir kepada Myvi GT, adakan ia cukup mengancam?