Toyota beritahu hibrid masih adalah teknologi elektrik paling sesuai untuk Malaysia – Innova HEV bakal tiba?

Toyota beritahu hibrid masih adalah teknologi elektrik paling sesuai untuk Malaysia – Innova HEV bakal tiba?

Dalam usaha untuk mengurangkan emisi karbon, Toyota telah mengambil pelbagai langkah teknologi untuk memberi sokongan kepada kepelbagaian keperluan dan keadaan pasaran di seluruh dunia. Meskipun telah memasuki dunia kenderaan elektrik bateri (BEV) dengan pengenalan bZ4X, kenderaan elektrik hibrid (HEV) bagaimanapun masih lagi menjadi fokus utama pengeluar dari Jepun itu.

Di Malaysia, satu-satunya HEV yang dipasarkan adalah Corolla Cross Hybrid, dilancarkan Januari tahun lalu. Tidak seperti Prius dan Prius C sebelum ini yang diimport sepenuhnya, crossover2 itu pula adalah model elektrik petrol pertama yang dipasang oleh syarikat itu di dalam Malaysia (CKD).

Untuk tahun 2023, UMW Toyota Motor (UMWT) memberitahu akan menambah satu lagi model HEV, sambil menyatakan bahawa teknologi hibrid adalah jenis elektrifikasi yang paling sesuai untuk negara kita. “Kami akan terus membuat penilaian untuk beberapa pilihan berbeza dan memperkenalkannya mengikut kesesuaian. Buat masa sekarang, kami percaya HEV adalah paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan menambah model HEV kedua pada tahun 2023,” kata presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

Model sebenar yang akan dilancar itu tidak diberitahu secara tepat (serta juga sama ada ia akan dipasang di dalam negara atau diimport), tetapi mengikut pandangan kami, yang nampak berpotensi adalah Innova terbaru, di mana ia ada menerima penggerak hibrid bagi model generasi ketiga.

Di negara jiran, Indonesia, varian hibrid MPV tersebut dipanggil sebagai Kijang Innova Zenix Hybrid EV dan menggunakan enjin petrol empat silinder NA 2.0 liter M20A-FXS berkuasa 152 PS pada 6,000 rpm dan tork 187 Nm dari 4,400 hingga 5,200 rpm sebagai penggerak utama.

Ia kemudiannya dibantu oleh motor elektrik berkuasa 113 PS dan 205 Nm, untuk menjadikan kuasa keseluruhan 186 PS. Bateri nickel–metal hydride (Ni-MH) untuk motor ini diletakkan di bawah dua tempat duduk hadapan, dan ia dipilih bagi menyesuaikannya dengan keadaan cuaca panas di negara itu.

Toyota beritahu hibrid masih adalah teknologi elektrik paling sesuai untuk Malaysia – Innova HEV bakal tiba?

Casis ladder frame IMV yang digunakan pada model Innova sebelum ini juga sudah digantikan dengan Toyota New Global Architecture (TNGA), atau lebih tepat lagi versi GA-C yang juga digunakan untuk Corolla Cross Hybrid CKD di negara kita.

Model HEV lain yang dipasarkan di Indonesia adalah seperti Corolla Altis Hybrid, C-HR Hybrid dan Camry Hybrid, tetapi kita masih belum mengetahui model manakah sebenarnya yang akan diperkenalkan oleh UMWT untuk Malaysia. Bersama kita nantikan pengumuman seterusnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required