Pemandu rali lagenda Perancis, François Delecour menjadi pelumba pertama di saman dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bagi musim ini kerana mencuci kereta di Service Park Selasa lalu, sebelum bermulanya pusingan pertama WRC 2023 iaitu Rali Monte Carlo minggu ini.

Delecour memandu jentera baharu Skoda Fabia RS Rally2 untuk pasukan Toksport WRT minggu ini. Saman bernilai €1,500 (RM7k) yang diterima oleh Delecour adalah disebabkan dia didapati bersalah kerana melanggar Artikel 12.12.3 peraturan Rali Monte Carlo kerana membasuh kereta di Service Park.

Menurut pengurus pasukan Toksport, Jacek Wyrzykowski ketika sesi pendengaran kes ini yang dibuat oleh pegawai pengelola perlumbaan Rabu lalu, insiden tersebut berlaku akibat salah faham arahan yang diberikan kepada ahli pasukan, menyebabkan kereta Delecour dengan nombor 37 tersebut dibasuh di Service Park dan bukan di kawasan basuh kereta yang telah ditetapkan.

Larangan untuk membasuh kereta di Service Park bagi Rali Monte Carlo ini adalah unik kerana Service Park berkenaan terletak di Pelabuhan Monaco (tempat yang sama paddock perlumbaan Formula 1 didirikan) dan air yang kotor dari basuhan berkenaan akan mengalir ke pelabuhan tersebut.

Ini merupakan penyertaan ke-23 François Delecour dalam rali Monte Carlo. Beliau pernah memenangi Rali Monte Carlo berkenaan pada tahun 1994, ketika itu memandu Ford Escort RS Cosworth untuk pasukan rali dunia rasmi Ford.