Hyundai Palisade facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

Hyundai Palisade <em>facelift</em> 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

Selepas mendarat di Malaysia pada Disember 2021, kini SUV flagship dari Hyundai iaitu Palisade dilancarkan pula dalam versi facelift untuk pasaran tempatan tidak sampai setahun ia diperkenalkan untuk peringkat global pada April lalu. Sama seperti sebelum ini, Palisade ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu petrol dan diesel, dengan kedua-duanya hadir dalam versi tujuh- dan lapan-tempat duduk.

Bagi model diesel 2.2 CRDi, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM368,888 untuk varian Executive lapan tempat duduk, dan RM389,888 untuk varian Luxury tujuh-tempat duduk. Manakala model petrol 3.8L pula, varian Executive lapan-tempat duduk dijual pada harga RM378,888, diikuti varian Luxury tujuh-tempat duduk berharga RM399,888.

Kesemua model ini adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan dan seperti model-model baharu Hyundai yang lain, Palisade turut ditawarkan dengan dua pilihan pakej waranti. Secara standard, ia diberikan waranti dua-tahun atau 50,000 km.

Namun untuk pelanggan yang mahukan waranti selama lima-tahun/300,000 km, Palisade akan dijual pada harga RM 11,000 (model petrol) dan RM12,000 (model diesel) lebih mahal. Dengan harga tersebut pelanggan turut menerima servis penyelenggaraan percuma tiga tahun/50,000 km.

Hyundai Palisade <em>facelift</em> 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

Perubahan paling besar untuk Palisade ini adalah pada bahagian muka. Gril Cascading untuk SUV besar ini diubah dengan memberikan elemen Parametric Jewel seperti pada Tucson. Lampu utama masih diletakkan pada bampar, manakala lampu isyarat membelok LED tersorok kerana ia kelihatan sama seperti elemen blok pada gril.

Jalur LED untuk lampu nyalaan siang masih ada tetapi kedudukannya yang berada pada sebelah dalam sebelum ini telah dialihkan keluar. Tiada perubahan dilihat pada bahagian sisi, kecuali rim reka bentuk baharu diberikan dan ianya adalah standard untuk semua varian dengan rekaan serta diameter 20-inci bersama tayar 245/50R20 yang sama, termasuk untuk tayar gantian.

Manakala di belakang, kluster lampu yang digunakan masih sama, cuma berbeza sedikit pada lampu undur di mana ia menampilkan tiga jalur menegak. Untuk bampar, model facelift ini diberikan jalur reflektor yang merentangi sepenuhnya serta kemasan skid plate yang nampak lebih lasak.

Kesemua varian Palisade hadir dengan penampilan luaran yang sama sepenuhnya. Cuma pada versi facelift ini, varian diesel tidak lagi diberikan lampu belakang LED penuh, yang boleh dikenali dengan jalur merah berbentuk ‘7’ pada lampu tersebut yang tidak menyala.

Senarai perincian standard yang dipadankan pada semua varian Palisade facelift ini termasuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang, dan lampu belakang LED, dua bumbung suria, cermin sisi elektrik bersama lampu puddle dan fungsi pemanas, rel bumbung serta pintu tailgate bantuan kuasa.

Dimensi untuk Palisade facelift ini secara asasnya tidak berubah dengan jarak roda 2,900 mm, lebar 1,975 mm dan tinggi 1,750 mm. Cuma ia sedikit lebih panjang dengan ukuran 4,995 mm berbanding 4,980 mm sebelum ini kerana rekaan bampar hadapan dan belakang yang kini berbeza.

Pada bahagian kabin, rekaan papan pemuka dan juga tempat duduk masih lagi sama. Perubahan ketara yang boleh dilihat adalah pada sistem infotainmen dan juga paparan instrumen untuk pemandu.

Paparan meter analog untuk pemandu sebelumnya telah disingkarkan dan diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin TFT LCD 12.3-inci, dan turut diberikan paparan HUD. Tiada lagi skrin lapan-inci untuk yang nampak janggal sebelum ini, dan digantikan dengan skrin 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay bersama fungsi arahan suara.

Hyundai Palisade <em>facelift</em> 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

Sistem penegcas tanpa wayar yang dibekalkan kini ditingkat taraf dari 5 watt kepada 15 watt. Manakala perubahan lain yang turut diberikan termasuk rekaan liang penghembus pendingin hawa kini merentangi sepenuhnya papan pemuka, cermin pandang belakang tanpa bingkai roda stereng baharu dengan rekaan seperti unit pada Sonata.

Sama seperti bahagian luar, kelengkapan pada bahagian kabin untuk kesemua varian Palisade ini adalah hampir sama. Apa yang berbeza adalah konfigurasi tempat duduk, serta model tujuh-tempat duduk diberikan fungsi liang pendingin hawa dan pemanas pada tempat duduk baris kedua, sementara model lapan-tempat duduk hanya diberikan fungsi pemanas.

Perincian lain adalah kekal seperti sebelum ini termasuk butang pemilih gear shift-by-wire, pedal penukar gear, brek parkir elektronik (dengan sistem auto hold), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu, pengelap cermin automatik serta sistem pendingin hawa tiga zon serta tempat duduk hadapan (pemanas dan pengalir udara) larasan kuasa 12 hala bersama fungsi memori untuk pemandu dan 8 hala untuk penumpang.

Untuk konfigurasi tempat duduk, model lapan tempat duduk menampilkan susunan tiga baris 2-3-3, dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga menampilkan tempat duduk jenis bench. Manakala versi tujuh tempat duduk pula diberikan susunan 2-2-3, di mana kerusi baris kedua adalah dari jenis Captain Seat yang lebih selesa.

Kesemua baris tempat duduk juga menerima sekurang-kurangnya dua port USB (enam secara keseluruhan tidak termasuk 1 port USB multimedia) dan kini ditingkat taraf menggunakan port USB Type C serta 10 pemegang cawan di serata kabin. Ia juga diberikan empat port kuasa 12-volt yang masing-masing diletakkan pada konsol tengah, hadapan, belakang dan ruang but belakang.

Penumpang baris kedua menerima pelindung cahaya matahari manual untuk setiap tingkap. Manakala untuk memudahkan penumpang masuk ke baris ketiga, kerusi baris kedua boleh dilipat dan digelangsarkan kehadapan dengan menekan butang satu sentuhan yang diletakkan pada bahagian atas dan bawah.

Palisade menyediakan ruang kargo belakang sebesar 509 liter. Jika mahukan lebih ruang, tempat duduk baris ketiga turut boleh dilipat rata (serta diberikan karpet khas dan juga penutup tonneau yang boleh disorokkan di bawah lantai ruang kargo) bagi memberikan ruang tambahan sehingga 1,297 liter. Tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat rata dengan menggunakan butang satu sentuhan yang disediakan pada ruang belakang tersebut.

Disebabkan Palisade diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, tempat yang sama untuk menghasilkan model-model untuk pasaran Eropah, pembeli di Malaysia boleh memilih beberapa tema dan material upholsteri yang disediakan. Untuk mereka yang mahukan tema hitam sepenuhnya, hanya kulit biasa ditawarkan.

Manakala kulit Nappa boleh dipilih dalam warna Warm Grey dan ia akan dipadankan dengan perapi-perapi dalam kemasan Layered Wood atau kulit Nappa berwarna Burgundy yang datang dengan perapi-perapi dalam kemasan Cloth Look. Enam warna badan ditawarkan untuk semua varian Palisade iaitu Creamy White Pearl,Graphite Gray Metallic, Shimmering Silver Metallic, Moonlight Blue Pearl, Abyss Black Pearl dan Gaia Brown Pearl.

Beralih kepada fungsi keselamatan, kesemua varian menerima kelengkapan standard seperti enam-beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua dan ketiga, kamera undur, pemantau tekanan angin tayar, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan juga pengingat tempat duduk belakang.

Untuk model facelift ini, kini semua varian menerima sistem bantuan pemandua Hyundai SmartSense penuh yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif (dengan stop & go), bantuan kekal tengah lorong, pengelak pelanggaran titik buta dan lintasan trafik belakang, lampu tinggi automatik, amaran mula berlepas hadapan, amaran selamat keluar dan juga amaran pengingat penumpang belakang yang berfungsi dengan penderia ultrasonic dalam kabin.

Hyundai Palisade <em>facelift</em> 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

Tiada perubahan diberikan pada bahagian mekanikal. Bagi model diesel, ia dijana oleh enjin R2.2 liter CRDi empat silinder turbodiesel menjana 200 PS tork maksima 440 Nm. Manakala versi petrol pula menerima enjin V6 3.8 liter Lambda II dengan suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan kuasa 295 PS dan tork maksima 355 Nm.

Kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, namun hanya model diesel diberikan sistem pacuan semua roda, sementara model petrol hanya menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Gandingan ini membolehkan versi diesel memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 190 km/j, manakala versi petrol pula mencatatkan masa 7.8 saat dalam pecutan sama sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

Juga, kedua-dua pilihan unit rangkaian kuasa ini hadir dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Smart, manakala hanya model diesel hadir dengan Traction Mode Select dengan mod Snow, Mud dan Sand yang disertakan pada sistem pacuan semua roda tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required