Pada tahun lalu, KTM telah memperkenalkan sebuah motosikal istimewa yang dibuat dengan kerjasama Brabus, iaitu Brabus 1300 R. Kini, motosikal itu telah diperbaharui, dan diperkenalkan dalam versi baru yang dipanggil sebagai Brabus 1300 R Edition 23 dan akan dikeluarkan hanya sebanyak 290 unit dengan jumlahnya dibahagi dua antara dua warna iaitu Superblack dan Stealth Gray.
Masih menggunakan model KTM 1290 Super Duke EVO sebagai asas, Brabus 1300 R Edition 23 ini diterapkan dengan konsep rekaan eksklusif 1-Second-Wow yang dibangunkan oleh Brabus untuk kenderaan mewah keluaran mereka. Elegan, berani dan garang adalah antara penampilan yang mahu ditonjolkan melalui barisan kenderaan Brabus ini, termasuk 1300 R.
Antara barangan Brabus yang boleh anda lihat berada pada motosikal ini adalah termasuk ekzos dua muncung di tepi sebelah kanan, tempat duduk khas dengan fungsi pemanas, animasi Brabus pada meter, rim monoblock Z sembilan cabang Platinum Black serta nombor keluaran di atas tangki.
Meningkatkan lagi konsep prestasinya, motosikal ini dipasang dengan pelbagai panel gentian karbon termasuk pada bawah enjin, panel atas lampu hadapan, salur udara tepi, penghadang lumpur hadapan, panel bawah tempat duduk, pelindung tepi enjin, pelindung rantai serta penghadang lumpur belakang.
Brabus juga menaik taraf beberapa kelengkapan dengan unit CNC-machined khas, termasuk triple clamp, tuil brek dan klac yang boleh dilaras, peletak kaki boleh laras serta penutup tangki bendalir brek dan klac, Cermin sisi di hujung pemegang motosikal ini juga adalah unit khas Brabus.
Enjin v-twin 1,301 cc pada motosikal ini tidak disentuh dan ia masih menghasilkan 180 hp pada 9,500 rpm dan 140 Nm tork pada 8,000 rpm sama seperti 1290 Super Duke EVO yang digunakan sebagai asas. Berat keseluruhan Brabus 1300 R Edition 23 adalah 194 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.