Mercedes-Benz GLB X247 facelift diperkenal – enjin hibrid ringkas petrol dan diesel 2.0L, sehingga 224 PS

Mercedes-Benz GLB X247 facelift diperkenal – enjin hibrid ringkas petrol dan diesel 2.0L, sehingga 224 PS

Bersama dengan GLA baru, Mercedes-Benz juga telah mendedahkan kepada dunia GLB 2023, yang diberikan peningkatan pada pelbagai aspek termasuk penggayaan, kelengkapan dan juga pilihan varian untuk pasaran Eropah. Model generasi X247 ini sekarang disediakan dalam pilihan empat enjin petrol dan empat enjin diesel.

Bagi enjin petrol, kesemuanya diletakkan dengan sistem hibrid ringkas, di mana starter generator pacuan tali sawat dipadankan bersama sistem elektrik 48 volt untuk memberikan tambahan kuasa 10 kW (13.6 PS) sewaktu memecut dan memulakan perjalanan.

Menurut Mercedes-Benz, sistem elektrikal ini juga dapat menambah ciri keselesaan, di mana ia membenarkan kenderaan meluncur dengan enjin ditutup, sambil menghasilkan bunyi yang lebih senyap serta kurang gegaran sewaktu dihidupkan.

Varian berenjin petrol bermula dengan GLB 180 dan GLB 200, di mana kedua-duanya dipacu oleh unit 1,332 cc. Bagi GLB 180, ia mampu menghasilkan 136 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm, sementara pada GLB 200, enjin sama menghasilkan 163 PS pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm. Pilihan transmisi adalah sama ada automatik klac berkembar tujuh kelajuan atau lapan kelajuan.

Mercedes-Benz GLB X247 facelift diperkenal – enjin hibrid ringkas petrol dan diesel 2.0L, sehingga 224 PS

Sementara itu, model petrol yang lebih berkuasa pula datang dengan enjin 1,991 cc turbo dan pacuan semua roda, digunakan pada varian GLB 220 4Matic untuk menghasilkan 190 PS pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm, dan 224 PS pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm pada GLB 250 4Matic.

Pergi kepada penggerak diesel, kesemuanya menggunakan unit 1,950 cc turbo, dengan pada GLB 180d menghasilkan 116 PS dan 280 Nm, sementara pada GLB 200d menghasilkan 150 PS dan 320 Nm. Dua varian diesel tertinggi juga datang dengan sistem pacuan semua roda, iaitu GLB 200d 4Matic, dengan kemampuan sama seperti GLB 200d, dan GLB 220d 4Matic menghasilkan 190 PS dan tork 400 Nm.

Bagi rim, unit yang dipasang pada GLB X247 facelift ini bermula dengan 17 inci pada varian permulaan, dan pergi kepada 18 hingga 20 inci untuk varian yang lebih tinggi. Peningkatan lain pada bahagian luar adalah termasuk lampu utama dan lampu belakang LED penuh yang baru.

Berkenaan infotainmen, unit paling asas adalah padanan panel instrumen tujuh inci bersama skrin multimedia 10.25 inci, manakala varian lebih tinggi mendapat skrin lebar yang terdiri daripada dua unit 10.25 inci yang bersambung. Dalam keadaan standard, stereng dibalut dengan kulit, sementara kulit Artico disediakan sebagai pilihan tambahan. Melalui pilihan kemasan AMG Line pula, pemilik boleh menambah ciri pemanas pada stereng.

Sistem MBUX pada GLB baru ini telah dikemas kini untuk memaparkan tema baru iaitu Classic, Sporty dan Discreet. Untuk lampu suasana pula keseluruhannya terdapat 10 warna yang boleh ditukar. Pada bahagian sambungan, GLB facelift kini mendapat tambahan soket USB-C yang lebih berkuasa manakala telefon pintar boleh disambungkan dengan sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa menggunakan wayar.

Turut dipertingkat adalah Intelligent Voice Assistant, untuk menjadi lebih berkemampuan, dan sekarang boleh mengetahui tetapan serta laluan kegemaran pemandu. Sistem infotainmen, kemudahan serta fungsi kenderaan semuanya boleh diubah suai oleh pemandu mengikut kemahuan.

Sistem keselamatan yang ada pada GLB X247 facelift ini adalah termasuk Driving Assistance Package yang dipertingkat untuk memberikan kawalan Lane Keeping Assist lebih selesa, sementara Parking Package generasi baru dapat memberikan bantuan untuk meletakkan kenderaan secara melintang bersama pandangan 360 darjah. Turut disediakan buat kali pertama pada GLB adalah Trailer Manoeuvring Assist.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required