Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

Ketika pelancaran Mercedes-Benz A-Class Sedan facelift CKD 2023 (A200 dan A250) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hari Rabu minggu lalu, kelibat versi prestasinya iaitu A35 Sedan facelift 2023 tidak kelihatan, dan Mercedes-Benz Malaysia hanya memberikan harga anggaran RM354,000 untuk model tersebut.

Namun model tersebut kemudiannya muncul di SIC pada hujung minggu ketika berlangsungnya perhimpunan Mercedes-AMG Track Day. Seperti versi sebelum ini, Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 ini masih hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD), di produksi bersama A200 dan A250 di Pekan, Pahang.

Versi yang disegarkan ini masih dijana unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin M260 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 306 PS pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 rpm hingga 4,000 rpm. Bagi model kemaskini ini, A35 Sedan turut menerima sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V yang menampilkan unit starter generator pacuan tali sawat (RSG) berkuasa 14 ps dan tork 150 Nm.

Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT 8G bagi menggantikan unit AMG Speedshift DCT 7G sebelum ini. Kuasa kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD AMG Performance 4Matic.

Walau bagaimanapun, angka prestasi dilihat tidak berubah di mana ia masih mencatatkan masa 4.8 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksima dicatatkan pada 250 km/j.

Pada sebelah luar, seperti biasa model prestasi ini mengenakan bampar “A-Wing profile” dan gril hadapan AMG yang lebih garang, serta diberikan emblem AMG bagi menggantikan logo bintang tiga penjuru yang berdiri pada muncung bonet hadapan.

Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

Ia juga hadir dengan lampu hadapan LED baharu seperti A200 dan A250 facelift menampilkan lampu nyalaan siang yang kini lebih nipis dan tidak lagi berbentuk-L seperti versi sebelum ini. Model ini juga menerima rim aloi AMG lima jejari berkembar berdiameter 19-inci, dibalut dengan tayar 235/35R19.

Di belakang, model facelift ini diberikan lampu baharu dengan grafik LED dalam yang berlainan dari sebelumnya, tetapi untuk bahagian lain seperti, lips spoiler, unit diffuser dan bampar serta dua tip ekzos berbentuk bulat masih lagi nampak sama seperti model pre-facelift.

Manakala dalam kabin, A35 AMG facelift ini menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan gaya paparan AMG yang dipertingkat kepada versi NTG7, dan ia menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar serta sistem audio surround dari Burmester. Ia juga menampilkan port pengecas diperingkat dengan memberikan fungsi cas pantas dan tambahan port USB Type-C

Perincian standard lain yang turut diberikan pada A35 facelift ini termasuk tempat duduk hadapan Sports dengan upholsteri gandingan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut, tali pinggang keledar berwarna merah, karpet kaki AMG, lampu suasana 64-warna, bendul sisi bernyala AMG, dan juga roda stereng AMG balutan kulit Nappa.

Bagi anda yang mahukan lebih kuasa, model Mercedes-AMG A45S 4Matic+ facelift juga sudah dilancarkan di Malaysia. Model tersebut masih menggunakan enjin 2.0L turbo berkuasa 421 hp/500 Nm, dan ia hanya hadir dalam versi hatchback yang diimport sepenuhnya CBU – dijual pada harga atau jalan bermula RM509,888 untuk model standard sehingga RM539,888 untuk model edisi terhad Street Style Edition.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required