Maxus MIFA 9 dilancar di Singapura – MPV EV China, bermula RM980k, jarak gerak 435 km, 245PS/350 Nm

Maxus MIFA 9 dilancar di Singapura – MPV EV China, bermula RM980k, jarak gerak 435 km, 245PS/350 Nm

MPV berkuasa elektrik sepenuhnya (EV) dari jenama China, Maxus MIFA 9 sudah pun dilancarkan di Singapura dengan harga bermula SGD282,999 (RM979,679). Ia ditawarkan dengan bateri 90 kWj yang membolehkan MPV tersebut bergerak sejauh 435 km dengan satu cas penuh.

Model ini juga sudahpun dilancarkan di Thailand ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) pada Mac lalu, dikenali sebagai MG Maxus 9 di sana. Untuk pasaran negara tersebut, MPV ini dijual pada harga bermula 2,499,000 baht (RM331,900) untuk model asas, dan sehingga 2,699,000 baht (RM358,400) untuk varian tertinggi yang ditawarkan.

Pengedar Maxus di Malaysia turut sudah mengesahkan bahawa MPV ini bakal mendarat di Malaysia tidak lama lagi, namun bila tarikh sebenar ia akan dilancarkan di sini belum dimuktamadkan lagi.

Maxus MIFA 9 dilancar di Singapura – MPV EV China, bermula RM980k, jarak gerak 435 km, 245PS/350 Nm

Maxus MIFA 9 ini menampilkan dimensi panjang 5,270 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,840 mm dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Dengan saiz ini membolehkan MIFA bertanding terus dengan Toyota Alphard dan Vellfire, malah jarak rodanya juga adalah 200 mm lebih jauh dari kedua-dua MPV mewah Jepun itu. Menurut laporan dari Car Buyer, MIFA 9 merupakan MPV Premium EV yang pertama dijual di pasaran Singapura.

Ia menerima motor berkuasa 180 kW (245 PS) dan tork maksima 350 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j. Ia boleh menerima sistem pengecas DC dengan kadar maksimum 120 kW, membolehkan cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Dengan pengecas AC 11 kW pula, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 5% ke 100% dalam masa 8.5 jam.

Secara keseluruhan, MIFA 9 ini menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk. Pada baris kedua, ia diberikan tempat duduk pilot larasan berkuasa dengan fungsi pemanas, liang penyejuk dan pengurut, serta perehat kaki dan perehat tangan larasan kuasa enam-hala.

Pemandu menerima paparan instrumen digital penuh dengan skrin tujuh-inci, manakala di tengah papan pemuka diberikan skrin utama 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem pengecas tanpa wayar dibekalkan untuk penumpang hadapan, manakala di kabin belakang setiap baris tempat duduk diberikan port pengecas USB. Port kuasa 220 Volt turut di tempatkan di baris ketiga bagi membolehkan peralatan elektrik lebih berkuasa digunakan.

Untuk keselamatan pula MPV ini menerima kamera panaromik 360 darjah, pemantau titik buta 360 darjah, cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kekal lorong.

Selepas ini Maxus MIFA 9 turut bakal menerima varian yang lebih mewah untuk pasaran Singapura, yang diberikan tempat duduk baris kedua ‘gaya kapalterbang’ dengan dilengkapi meja yang boleh dilipat.

GALERI: MPV MG Maxus 9 EV di Bangkok International Motor Show 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required