Nissan Z Nismo diperkenal – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin, casis, suspensi dan brek

Nissan Z Nismo diperkenal – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin, casis, suspensi dan brek

Selepas hampir dua tahun Nissan Z diperkenalkan kepada dunia, kini pengeluar dari Jepun itu mendedahkan pula versi prestasi, Z Nismo yang diberikan lebih kuasa, penggayaan tersendiri serta pelbagai lagi peningkatan lain.

Walaupun merupakan varian paling tinggi bagi model sports ini, Z Nismo tidak ditawarkan dengan transmisi manual seperti varian Sport dan Performance di bawahnya, dan datang cuma dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan, namun klacnya telah dinaik taraf dan boleh memberikan masa tukaran gear lebih laju berbanding varian Performance.

Nissan juga mendakwa Z Nismo ini mampu menghasilkan pecutan dari henti yang lebih agresif apabila menggunakan Launch Control, dan ia didatangkan dengan mode Sport+ baru sebagai tambahan kepada Normal dan Sport sedia ada. Melalui mod baru ini, program penukaran gear sangat responsif, sehinggakan pemandu tidak perlu menggunakan penukar gear di belakang stereng, meskipun ia sudah tersedia.

Menjadi penggeraknya adalah enjin V6 3.0 liter twin turbo VR30DDTT yang dapat menghasilkan kuasa sehingga 426 PS (420 hp) pada 6,400 rpm dan tork 521 Nm antara 2,000 hingga 5,200 rpm. Jika dibandingkan dengan varian Sport dan Performance, kuasa Z Nismo ini adalah 20 PS (20 hp) dan 46 Nm lebih tinggi.

Menurut Nissan, kuasa yang tinggi ini dapat dicapai melalui beberapa peningkatan termasuk pada bahagian penyejukan, kawalan wastegate elektronik untuk memberikan boost lebih tinggi serta pusingan turbin lebih laju, dan juga pemasaan pengapian yang mendapat inspirasi daripada GT-R Nismo.

Untuk menghentikan kenderaan, brek yang lebih besar digunakan, dengan terdiri daripada cakera 15 inci serta angkup empat piston di hadapan, serta cakera 13.8 inci dengan angkup dua piston di belakang. Selain satu inci lebih besar, cakera brek hadapan Z Nismo juga menggunakan aluminium (varian lain menggunakan cast iron) dan dilengkapi pad yang lebih mencengkam.

Nissan Z Nismo diperkenal – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin, casis, suspensi dan brek

Bahagian casis turut dinaik taraf, dengan mendapat pendakap tambahan sebagai penguat, bushing yang lebih keras, stabiliser bar khas, kadar spring yang lebih keras dan besar, penyerap yang ditala semula, serta rim RAYS 19 inci setengah inci lebih besar, dibalut tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600 bersaiz 285/35.

Selain peningkatan prestasi, penampilan Z Nismo turut dijadikan istimewa dengan muncung bampar khas yang 20 mm lebih panjang, gril khas Nismo, lip bawah bampar, spoiler belakang lebih lebar serta rekaan bampar belakang baru.

Nissan menawarkan Z Nismo dalam lima warna, iaitu Black Diamond Pearl, Brilliant Silver, Passion Red TriCoat, Everest White Pearl TriCoat dan Stealth Grey khas Nismo. Bagi memberikan kontras, bumbung dan rim kereta ini dicat warna hitam.

Menyambut pemandu di bahagian dalam adalah tempat duduk Recaro khas Z Nismo, yang dibalut gabungan kulit biasa dan Alcantara, stereng balutan Alcantara dengan garis merah di atas, butang pemula enjin dan pemilih mod yang mempunyai kemasan keliling merah serta animasi khas Nismo pada panel instrumen.

Kelengkapan lain Z Nismo ini sama seperti varian Performance, termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan inci, lapan pembesar suara Bose, pengawal suhu automatik serta sistem bantuan pemandu yang termasuk AEB, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning dan Adaptive Cruise Control.

Z Nismo datang dengan tempat duduk larasan manual (varian Performance mendapat unit kawalan elektrik), yang mungkin dianggap sebagai usaha meringankan kenderaan. Walaupun begitu, Z Nismo sebenarnya adalah lebih berat berbanding Performance kerana transmisi yang digunakan, dengan mencatat berat keseluruhan 1,680 kg (Performance 1,634 kg). Harga Z Nismo masih belum diumumkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required