Kembar kepada Perodua Axia generasi kedua iaitu Toyota Agya 2023 sudahpun dijual di pasaran Indonesia bermula Mac lalu. Dan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 tempoh hari, kami sempat untuk melihat unit sebenar Agya ini yang dipamerkan di situ.
Ketika dilancarkan, Agya 2023 ditawarkan dalam lima varian berbeza iaitu Agya E MT, Agya G MT, Agya G CVT, serta dua varian paling sporty iaitu Agya GR-Sport MT dan Agya GR-Sport CVT. Namun di GIIAS, hanya dua varian dipamerkan oleh Toyota iaitu varian G CVT yang dijual pada harga Rp 191.4 juta (RM53k) dan juga varian paling sporty iaitu Agya GR Sport CVT berharga Rp 253.5 juta (RM72k).
Agya diberikan rekaan muka lebih tersendiri berbanding Axia dan juga satu lagi kembarnya di sana iaitu Daihatsu Ayla. Kesemua varian Agya diberikan lampu hadapan LED dengan kluster lampu yang direka lebih nipis dari Axia, serta menampilkan jalur LED lampu panduan dengan kedudukan kontra – Agya di atas, dan Axia pula di bawah.
Untuk model biasa, Agya menerima gril seakan Toyota Yaris pasaran Jepun. Pada bahagian ‘pipi’ bampar berkenaan diberikan lekuk seakan liang ambilan udara, dan apa yang menarik ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang yang disusun menegak ala-Perodua Myvi facelift.
Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan mengambil inspirasi dari hot-hatch GR Yaris, dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, bersama rekaan spoiler pada bahagian bawah. Logo GR ditampal pada bar tengah yang memisahkan gril atas dan juga bawah.
Agya GR Sport juga menerima skirt sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan juga serlahan-serlahan hitam berkilat pada cermin sisi dan juga gril hadapan bagi memberikan rupa yang lebih garang. Versi paling garang ini juga menerima rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona yang dibalut dengan tayar profil lebih rendah.
Sama seperti model generasi sebelumnya, Agya di Indonesia menerima enjin 1.2 liter – 200 cc lebih besar berbanding Axia di Malaysia yang hanya menerima enjin 1.0 liter. Namun untuk model generasi baharu ini, ia datang dengan enjin baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder bagi menggantikan enjin 3NR-VE empat-silinder sebelumnya.
Enjin berkenaan merupakan unit yang sama pada perut varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia menghasilkan kuasa 88 PS yang sama seperti enjin 3NR, tetapi dengan tork lebih besar iaitu 113 Nm berbanding 108 Nm sebelum ini.
Versi-versi CVT menerima kotak gear D-CVT sama seperti Axia di Malaysia menggantikan kotak gear automatik konvensional 4AT sebelum ini, manakala model-model MT pula diberikan kotak gear manual lima-kelajuan. Bagi model Agya GR-Sport, ia turut menerima talaan semula pada sistem stereng dan juga suspensi untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty.
Bagi model G, Agya menerima meter kelajuan analog di tengah bersama bersama skrin pelbagai info TFT pada sebelah kanan dan juga butang mod ‘Power’. Manakala varian GR-Sport pula diberikan skrin instrumen TFT 7-inci. Manakala bagi model yang menerima kotak gear CVT, Agya diberikan pedal penukar gear di mana perincian ini tidak diberikan pada mana-mana varian Axia di Malaysia.
Tiada varian yang menerima upholsteri kulit untuk Agya di Indonesia. Namun bagi Agya GR-Sport, ia diberikan sarung tuil gear dan juga roda stereng dengan logo GR balutan kulit, tempat duduk semi-bucket dengan upholsteri gabungan fabrik sued bersama sulaman logo GR, kemasan bendul sisi aluminium GR dan juga serlahan-serlahan jahitan benang merah.
Model paling sporty ini juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, skrin infotaimen lapan-inci dengan logo pemula GR serta sokongan hubungan Mirrolink dan memberikan visual untuk kamera undur, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dashcam, dan juga sistem telemetik T Intouch. Sementara model G pula hanya menerima skrin tujuh-inci yang turut menerima hubungan Mirrorlink.
Selain dari dua model yang dijual di bilik pameran ini, Toyota turut membawa dua buah jentera lumba Agya GR Sport 2023 Toyota Gazoo Racing Indonesia (TGRI) yang dibina untuk perlumbaan Gymkhana dan touring car ITCR 1,200. Perincian untuk kedua-dua kereta lumba tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.
GALERI: Toyota Agya GR Sport di GIIAS 2023
GALERI: Toyota Agya G di GIIAS 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.