GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

Jika kita di Malaysia ada Vios produksi yang dihasilkan untuk perlumbaan one make Vios Challenge dan juga versi lebih berkuasa Vios dan Yaris MTC yang berlumba dalam Sepang 1000km, di Indonesia ayam tambatan untuk Toyota Gazoo Racing adalah Toyota Agya GR Sport. Ya, hatchback segmen-A kembar kepada Perodua Axia ini merupakan model paling cemerlang Toyota dalam dunia perlumbaan di sana buat masa sekarang!

Agya GR Sport generasi sebelum ini merupakan bintang dalam kejohanan disiplin Gymkhana di Indonesia iaitu Kejurnas Slalom MLDSPOT dengan memenangi juara keseluruhan bagi empat kategori tahun lalu, dan kini sedang mengungguli perlumbaan sama untuk musim 2023 setelah berlangsungnya tiga pusingan terawal.

Hatchback kompak ini juga menunjukkan kehandalannya dalam kejohanan Touring Car Indonesia (ITCR) dalam kategori 1,200 cc, di mana pemandunya muda Jordan Johan merupakan pencabar kelompok hadapan dalam siri perlumbaan tersebut.

GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

Seperti yang kita tahu, Toyota telah pun memperkenalkan model generasi baharu Agya pada awal tahun ini. Maka, kereta-kereta lumba Agya GR Sport sedia dalam pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia (TGRI) juga perlu digantikan dengan model serba baharu ini.

Dan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 bermula minggu lalu, kereta-kereta lumba baharu berkenaan telahpun didedahkan dan dipamerkan kepada umum.

Dua spesifikasi dihasilkan dan ditunjukkan, iaitu versi untuk perlumbaan Gymkhana dan juga untuk perlumbaan Touring Car ITCR 1,200. Kedua-dua kereta lumba ini diasaskan dari Agya GR Sport yang sama dijual dalam pasaran, dijana oleh enjin WA-VE 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 88 PS (87 hp atau 65 kW) dan tork maksima 113 Nm, bagi menggantikan enjin 3NR-VE 1.2 liter empat silinder sebelum ini.

GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

Enjin berkenaan masih kekal standard pada kereta lumba ini, dan ia digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan manual. Ubahsuai lain yang turut diberikan adalah suspensi dan set roda yang sesuai dengan disiplin perlumbaan masing-masing.

Untuk kereta lumba yang dibina untuk Gymkhana, ia tidak diberikan rollcage malah masih mengekalkan kebanyakkan perincian dalaman seperti model produksi biasa. Yang ditukar cuma roda stereng perlumbaan dari OMP, dan juga tuil gear tanpa konsol kemasan (mungkin telah menggunakan quick shifter) dan juga brek tangan yang diubahsuai bagi membolehkan aksi hand brake turn dilakukan dengan lebih mudah.

Manakala untuk versi touring car, Agya GR Sport ini menerima perlindungan rollcage penuh, sepasanag tempat duduk hadapan perlumbaan, karpet serta tempat duduk belakang yang sudah dibuang, diberikan kelengkapan keselamatan lain seperti pemadan api dan lain-lain. Namun papan pemuka dan juga panel dalaman pintu kereta lumba kecil ini masih diberikan pelekat penyamaran.

Kereta lumba Gymkhana TGRI Agya GR Sport 2023 sebenarnya telah membuat kemunculan sulungnya di perlumbaan yang berlangsung di Bekasi, Jawa Barat pada Jun lalu. Kereta tersebut masih lagi dalam pembangunan, namun telah memnunjukkan prestasi awalan yang positif terutamanya pada casis yang lebih tegar, secara tidak langsung menjadikan pengendaliannya lebih baik.

Manakala untuk versi Touring Car, TGRI menggunakan khidmat seorang lagi pelumba muda Indonesia iaitu Amato Rudolph yang bersaing dalam ITCR 1,200 bermula musim ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required