Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

Selepas didedahkan bulan lalu, kini kembar Perodua Axia D74A di Indonesia iaitu Toyota Agya 2023 secara rasmi telahpun mula dijual di Indonesia dan Toyota Astra Motor (TAM) mula mengumumkan perincian harga dan spesfikasi untuk hatchback segmen-A ini.

Di Indonesia, Agya 2023 ditawarkan dalam lima varian berbeza iaitu Agya E MT dijual pada harga bermula 167.9 juta rupiah (RM49k), Agya G MT berharga Rp 175.4 juta (RM51k), Agya G CVT berharga Rp 191.4 juta (RM56k), serta dua varian paling sporty iaitu Agya GR-Sport MT berharga Rp 237.5 juta (RM69k) dan Agya GR-Sport CVT berharga Rp 253.5 juta (RM74k).

Agya diberikan rekaan muka lebih tersendiri berbanding Axia dan juga satu lagi kembarnya di sana iaitu Daihatsu Ayla. Kesemua varian Agya diberikan lampu hadapan LED dengan kluster lampu yang direka lebih nipis dari Axia, serta menampilkan jalur LED lampu panduan dengan kedudukan kontra – Agya di atas, dan Axia pula di bawah.

Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

Model denga logo Toyota ini menerima gril seakan Toyota Yaris pasaran Jepun. Pada bahagian ‘pipi’ bampar berkenaan diberikan lekuk seakan liang ambilan udara, dan apa yang menarik ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang yang disusun menegak ala-Perodua Myvi facelift.

Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan mengambil inspirasi dari hot-hatch GR Yaris, dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, bersama rekaan spoiler pada bahagian bawah. Logo GR ditampal pada bar tengah yang memisahkan gril atas dan juga bawah.

Agya GR Sport juga menerima skirt sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan juga serlahan-serlahan hitam berkilat pada cermin sisi dan juga gril hadapan bagi memberikan rupa yang lebih garang.

Bahagian sisi Agya ini menampilkan bayang badan dan juga garis-garis sisi yang sama seperti Axia. Model standard menerima rim kemasan perak yang mungkin bersaiz 14-inci seperti Axia, manakala model GR Sport diberikan rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona yang dibalut dengan tayar profil lebih rendah.

Pada sebelah belakang, Agya dan Axia dilihat menampilkan rupa yang hampir sama seluruhnya, dibezakan hanya dengan logo-logo jenama masing-masing.

Untuk Agya biasa ia ditawarkan dengan tujuh warna badan iaitu merah, hitam, kuning, perak, kelabu dan oren. Manakala untuk Agya GR-Sport pula ia boleh dipilih dalam empat warna tunggal iaitu putih, merah, hitam dan kuning serta dua pilihan dwi-tona iaitu merah-bumbung hitam dan putih-bumbung hitam.

Pada bahagian dalaman, Agya turut berkongsi papan pemuka yang sama dengan Axia, dibezakan dengan beberapa perincian kecil termasuk panel kawalan pendingin hawa. Panel pada Agya ini tampil dengan rekaan berbeza, serta tidak diberikan dua slot memori seperti Axia.

Bagi model E dan G, Agya menerima meter kelajuan analog di tengah bersama bersama skrin pelbagai info TFT pada sebelah kanan. Manakala varian GR-Sport pula diberikan skrin instrumen TFT 7-inci yang nampak sama seperti pada Axia AV, Ativa, Alza malah turut sama dengan komponen pada Toyota Vios generasi baharu.

Model paling asas E tidak menerima butang mod ‘Power’ pada roda stereng. Manakala bagi model yang menerima kotak gear CVT, Agya diberikan pedal penukar gear di mana perincian ini tidak diberikan pada mana-mana varian Axia di Malaysia.

Tiada varian yang menerima upholsteri kulit untuk Agya di Indonesia. Namun bagi Agya GR-Sport, ia diberikan sarung tuil gear dan juga roda stereng dengan logo GR balutan kulit, tempat duduk semi-bucket dengan upholsteri gabungan fabrik sued bersama sulaman logo GR, kemasan bendul sisi aluminium GR dan juga serlahan-serlahan jahitan benang merah.

Model paling sporty ini juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, skrin infotaimen lapan-inci dengan logo pemula GR serta sokongan hubungan Mirrolink dan memberikan visual untuk kamera undur. Sementara model G pula hanya menerima skrin tujuh-inci yang turut menerima hubungan Mirrorlink.

Sama seperti model generasi sebelumnya, Agya di Indonesia menerima enjin 1.2 liter – 200 cc lebih besar berbanding Axia di Malaysia yang hanya menerima enjin 1.0 liter. Namun untuk model generasi baharu ini, ia datang dengan enjin baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder bagi menggantikan enjin 3NR-VE empat-silinder sebelumnya.

Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

Enjin berkenaan merupakan unit yang sama pada perut varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia menghasilkan kuasa 88 PS yang sama seperti enjin 3NR, tetapi dengan tork lebih besar iaitu 113 Nm berbanding 108 Nm sebelum ini.

Versi-versi CVT menerima kotak gear D-CVT sama seperti Axia di Malaysia menggantikan kotak gear automatik konvensional 4AT sebelum ini, manakala model-model MT pula diberikan kotak gear manual lima-kelajuan. Bagi model Agya GR-Sport, ia turut menerima talaan semula pada sistem stereng dan juga suspensi untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty.

Walaupun dari segi prestasi Agya dilihat lebih baik, ia nampaknya menerima sistem keselamatan yang kurang berbanding Axia. Kesemua varian Agya di Indonesia hanya diberikan dua beg udara, sistem brek ABS dan EBD, VSC dan Bantuan Mula Mendaki dan hanya varian GR-Sport diberikan kamera undur.

Tiada satu pun varian Agya yang menerima sistem bantuan pemanduan – di Malaysia, Axia AV menerima enam-beg udara, lampu tinggi automatik, sistem pemantau titik buta dan lintasan trafik belakang serta sistem ASA 3.0 yang memberikan fungsi termasuk brek kecemasan automatik dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, Agya ditawarkan dengan sistem terhubung T intouch yang memberikan sistem Geofencing dan Find My Car, serta hubungan terus dengan servis selepas jualan seperti bantuan tepi jalan, bantuan tunda, servis berkala dan lain-lain.

TAM juga menawarkan beberapa aksesori seperti kit badan GR Parts untuk Agya biasa, kamera perakan digital hadapan dan juga hon premium.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required