Maserati MCXtrema diperkenal – MC20 versi litar dengan kuasa 730 PS, keluaran terhad 62 unit sahaja

Maserati MCXtrema diperkenal – MC20 versi litar dengan kuasa 730 PS, keluaran terhad 62 unit sahaja

Maserati telah memperkenalkan MCXtrema, iaitu sebuah MC20 versi litar yang akan dikeluarkan cuma sebanyak 62 unit untuk seluruh dunia. Dipanggil oleh Maserati sebagai sebuah kereta lumba homologasi, MCXtrema masih menggunakan enjin 3.0 liter ‘Nettuno’ sama seperti MC20 biasa, tetapi menghasilkan 100 PS lebih, menjadi keseluruhannya 730 PS pada 7,500 rpm dan tork 730 Nm pada 3,000 rpm.

Kuasa yang naik banyak ini datang daripada penggunaan pengecas turbo baru serta sistem ekzos lumba yang masih mempunyai catalytic converter. Unit pengawal enjin (ECU) pula menggunakan Bosch MS6.4, dengan kawalan cengkaman daripada Maserati Corse.

Bahagian transmisi menggunakan resepi yang sudah terbukti di litar, iaitu menggantikan unit klac berkembar tujuh kelajuan dengan unit lumba sequential enam kelajuan bersama pedal penukar di stereng. Turut dipasang pada MCXtrema adalah klac lumba serta differential belakang limited slip dan boleh kunci sendiri.

Sama seperti MC20 biasa, MCXtrema menggunakan kerangka tab monocoque gentian karbon dengan suspensi double wishbone di setiap penjuru. Penghentian kereta dilaksana oleh brek gentian karbon dengan tekanan serta ABS yang boleh dilaras.

Secara keseluruhannya MCXtrema mencatat berat kering 1,300 kg, dengan ukuran panjang 5,199 mm dan lebar 2,405 mm. Sebagai kereta kegunaan litar, MCXtrema ditambah dengan roll cage di dalam, tangki minyak FT3 120 liter serta sistem pengangkat udara – semuanya mendapat kelulusan FIA.

Panel badan MCXtrema dibuat oleh Maserati Centro Stile, menggunakan bahan komposit penuh serba ringan bersama sayap belakang, splitter hadapan dan diffuser belakang yang boleh dilaras, serta bahagian bawah kenderaan yang ditutup sepenuhnya menggunakan gentian karbon. Mengikuti keperluan FIA, kereta ini mempunyai tempat keluar di atas, manakala cermin hadapan dan tingkap tepi diganti dengan polikarbonat.

Maserati MCXtrema diperkenal – MC20 versi litar dengan kuasa 730 PS, keluaran terhad 62 unit sahaja

Bahagian dalam MCXtrema cuma mempunyai satu tempat duduk bucket lumba serta tali pinggang six point. Pemandu boleh menjadikan kedudukan lebih selesa dengan pelarasan pada pedal serta stereng, sementara pendingin hawa masih dikekalkan dan terdapat pelbagai butang kawalan pada stereng gentian karbonnya. Tidak ketinggalan adalah pemadam api mengikut spesifikasi FIA.

Maserati menjelaskan MCXtrema adalah “lain daripada yang lain”, sambil menyatakan banyak lagi model istimewa keluaran terhad akan diperkenalkan, termasuk dengan tetapan lumba seperti MCXtrema ini. Untuk pengetahuan, semua 62 unit MCXtrema ini sudah habis dijual.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required