Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah memaklumkan, sebanyak 18 jalan di sekitar Putrajaya ditutup untuk sesi raptai dan raptai penuh sempena perarakan Hari Kemerdekaan ke-66. Ia akan dilaksanakan pada jam 5 pagi hingga 11 pagi, bermula semalam dan berlangsung sehingga esok, 29 Ogos 2023. Sila rujuk gambarajah di atas.
Manakala pada 31 Ogos ini pula, sebanyak 22 jalan di pusat pentadbiran kerajaan itu juga akan ditutup secara berperingkat, seperti yang diumumkan sebelum ini, juga dari jam 5 pagi hingga 11 pagi. Polis menjangkakan seramai 100,000 pengunjung bakal memenuhi Dataran Putrajaya bagi memeriahkan acara sambutan Kemerdekaan di sana. Justeru, seramai 417 anggota polis akan ditugaskan bagi kawalan trafik di kawasan yang terbabit.
Jika anda merancang untuk ke sana, disaran menggunakan pengangkutan awam. Tetapi jika yang ingin memandu kenderaan sendiri, antara kawasan parkir yang tersedia termasuklah di sekitar Masjid Tuanku Zainal Abidin (Masjid Besi), sekitar Jabatan Wilayah Persekutuan, Suasana PJH, sekitar Tugu Millenium, sekitar Myfarm di Presint 9, PICC, berhampiran bangunan Kementerian Pengangkutan, Putrajaya Sentral, dan parkir awam di bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Selain itu, kawasan parkir lain termasuk di sekitar bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Peguam Negara. Bas perantara percuma juga turut disediakan di PICC, Kompleks E dan Putrajaya Sentral. Untuk perkhidmatan E-hailing pula, anda dibenarkan menurunkan penumpang di sekitar Masjid Besi dan Jalan Tun Hussien (di belakang Istana Kehakiman).
Peringatan untuk semua, pihak polis juga telah mengeluarkan arahan bahawa penggunaan dron tanpa kelulusan adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.