Hyundai Santa Fe facelift bakal tiba di Malaysia – SUV tiga baris tempat duduk akan dipasang di Kulim

Hyundai Santa Fe facelift bakal tiba di Malaysia – SUV tiga baris tempat duduk akan dipasang di Kulim

Tidak lama lagi, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) akan melancarkan Santa Fe generasi keempat versi facelift di pasaran Malaysia. Ini dijadikan lebih jelas apabila mereka mengumumkan di laman LinkedIn bahawa Sime Darby Hyundai Integrated (SHDI) telah menandatangani sijil pengeluaran dengan Inokom untuk memulakan pengeluaran SUV tersebut.

Santa Fe generasi keempat dilancarkan di negara kita buat pertama kali pada bulan Mei 2019 sebagai sebuah model pemasangan tempatan (CKD), dan beberapa bulan selepas itu, iaitu pada Jun 2020, keluar pula versi facelift di Korea. Semasa dijual, Santa Fe ditawarkan dalam versi petrol dan juga diesel.

Buat masa ini, tiada Santa Fe dalam laman web HSDM, dan kali terakhir kami periksa, terdapat dua varian diesel, iaitu Executive SE 2WD yang berharga RM196,888 tidak termasuk insurans, dan Executive Plus SE 2WD pada RM215,888.

Antara perubahan yang diberi pada model facelift termasuk lampu hadapan utama pada bampar yang kini bersepadu terus dengan gril utama, gril bawah yang lebih besar serta grafik LED lampu nyalaan siang pada sebelah atas kelihatan bersambung dengan jalur grafik LED yang menyala pada lampu utama di bawah, menyerlahkan bentuk seakan huruf T.

Di bahagian belakang, Santa Fe facelift mendapat lampu dengan kluster yang nampak sama seperti sebelum ini, namun ia hadir dengan grafik LED yang juga membentuk huruf T seperti di hadapan, manakala bar krom yang merentangi pintu tailgate bagi menyambungkan kedua-dua lampu kini digantikan dengan reflektor berwarna merah.

Meskipun ini cuma model facelift, Hyundai mengumumkan penggunaan platform serba baru, sekaligus membantu memberikan peningkatan dari segi prestasi, kawalan dan keselamatan, jauh lebih baik dari sebelum ini.

Pada bahagian kabin, rekaan asas papan pemuka Santa Fe 2021 ini masih kelihatan sama seperti sebelumnya. Namun rombakan besar dibuat pada konsol terowong tengah di mana ia kini kelihatan lebih tinggi dan lebih landai, dan tombol gear tradisional juga tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan butang ‘shift-by-wire’.

Turut kelihatan disebelah butang gear tersebut adalah suis kawalan Terrain Mode, untuk pilihan mod pemanduan Eco, Sport, Comfort dan Smart, serta pilihan mod sistem pacuan semua roda HTRAC yang hadir dengan pilihan Sand, Snow dan Mud.

Skrin sesentuh utama untuk sistem AVN (audio, video dan navigasi) kini menggunakan unit bersaiz 10.25-inci, yang telah lengkap dengan peta untuk sistem navigasi satelit dan boleh dioperasikan dengan arahan suara, serta memberikan paparan untuk kamera undur dan juga pelbagai fungsi terhubung lain. Panel instrumen menggunakan unit digital 12.3 inci.

Santa Fe sebelum ini ditawarkan di Malaysia dengan enjin sama ada unit petrol empat silinder NA 2.4 liter atau diesel empat silinder 2.2 liter turbo. Versi petrol datang dengan transmisi automatik enam kelajuan seentara versi diesel mendapat transmisi automatik lapan kelajuan – pacuan sama ada dua roda atau empat roda bergantung kepada varian.

Setakat ini masih belum diketahui sama ada tetapan sama akan digunakan kembali, atau ia mungkin datang dengan pilihan yang lebih mesra alam memandangkan platform baru ini boleh diletakkan dengan enjin hibrid dan plug-in hybrid. Untuk pengetahuan, Santa Fe juga sudah keluar dengan model generasi kelima, yang diperkenalkan kali pertama Julai lalu.

GALERI: Hyundai Santa Fe facelift 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required