Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

Seminggu dua ini Proton dilihat giat menjalankan ujian jalan raya awam untuk sedan baharunya yang dikhabarkan akan di lancarkan bulan hadapan. Dan sebelum sepatutnya ia didedahkan, ini dia sedan pengganti Preve berkenaan dilihat sedang menjalani penggambaran iklan tanpa sebarang penyamaran!

Video ini dihantar oleh pembaca paultan.org, Ilyas Othman yang terserempak dengan sedan baharu Proton berkenaan yang diekori oleh sebuah Porsche Cayenne berwarna hitam yang dijadikan sebagai kereta kamera, serta diiringi beberapa kenderaan lain termasuk sebuah motosikal peronda polis.

Apa yang menarik, Proton seakan masih mahu menyembunyikan nama sebenar sedan ini kerana pada bahagian nombor plat, ia tertulis ‘PROTON S 0’ dengan nombor selepas abjad ‘S’ digelapkan. Namun sekiranya anda lihat pada emblem pada but belakang, ia tertulis ‘S70’ dan bukan ‘S50’!

Sebelum ini media-media melaporkan sedan baharu ini akan dinamakan sebagai ‘S50’ kerana Proton telah dilihat mendaftarkan nama tersebut di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Malah disebabkan model ini diasaskan dari sedan segmen-B Geely Emgrand dan menggunakan platform BMA yang sama dengan SUV segmen-B X50, ramai yang menjangkakan bahawa Proton akan menggunakan nama S50 pada sedan baharu ini.

Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

Unit yang menjalani pengambaran tersebut menampilkan warna badan hitam, dan ia dilihat mengenakan kit badan yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang lebih agresif dan spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but. Model yang diambil untuk iklan biasanya merupakan dalam versi varian paling tinggi, dan kit badan berkenaan mungkin hanya ditawarkan pada varian paling mahal untuk sedan ini kelak.

Dan pada bahagian muka, unit berkenaan mengenakan rekaan pin krom seakan model-model Mercedes-Benz yang sama seperti SUV segmen-D Proton X90. Pada X90, Proton memberitahu bahawa rekaan tersebut adalah diispirasikan dari rekaan kain songket tradisi Melayu.

Sebelum-sebelum ini unit ujian S50/S70 ini dilihat ada yang menerima gril hadapan infinite weave seperti Proton X50 dan X70 – mungkin gril berkenaan akan dipadankan pada model-model dengan varian lebih rendah. Baru-baru ini juga tiga buah sedan berkenaan dilihat diuji sehingga ke Pulau Pinang, dengan dua daripadanya diberikan lampu hadapan reflektor LED dan sebuah lagi dengan lampu projektor.

Proton S50/S70 ini juga dijangka bakal menampilkan kelengkapan mekanikal dan juga elektronik yang lebih baik dari Geely Emgrand yang telah pun dijual di pasaran China dan Filipina.

Berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate unit-unit ujian yang digunakan pada bahagian hadapan, ia mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50/S70 nampaknya akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang tidak ditawarkan pada Emgrand.

Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50/S70 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

Selain itu, S50/S70 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.

Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

Oleh itu model ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla (sebab itulah ia mungkin diberi nama S70), kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

Kami juga menjangkakan S50/S70 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

Dengan Proton X50 yang kini dijual pada harga RM86k hingga RM113k, boleh jadi S50/S70 ini akan dijual bermula RM70k untuk varian paling asas. Memandangkan harga jualan sedan segmen-B seperti Toyota Vios dan Honda City untuk varian tertinggi kini menghampiri RM100k, tak mustahil varian tertinggi bagi Proton S50/S70 ini juga akan dijual pada harga lebih kurang sama.

GALERI: Geely Emgrand pasaran China dan Filipina

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Assalamualaikum.
    Saya sebenarnya lebih suka kalau Proton mengekalkan nama Perdana, Wira, Waja & Satria dalam produk mereka. Nama2 ini bukan saja berbunyi gah bila didengar, ia juga melambangkan identiti Malaysia.
    Produk baru ni boleh je dinamakan Proton Waja S70. Produk2 lain boleh dinamakan Perdana S90, Wira S50 & Satria S50.

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Firdaus on Oct 17, 2023 at 9:50 am

    Baik beli Vios…beli ni nanti tak ada stok spare part!

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 2
 

Add a comment

required

required