Meskipun permintaan untuk kereta sports dan roadster (dua pintu, bumbung boleh buka) semakin menurun, Daihatsu masih memberi perhatian kepada Copen dan menunjukkan potensinya pada masa hadapan dengan pengenalan model konsep Vision Copen di Japan Mobility Show 2023.
Sekali pandang kita sudah tahu ini adalah Copen kerana ia masih mengekalkan rekaan seperti model asal termasuk lampu hadapan dan belakang yang berbentuk bulat. Tetapi, ada sesuatu yang lebih istimewa sebenarnya, kerana jika anda perasan, model konsep ini sudah nampak kurang comel dan kedudukannya lebih sporty.
Memang itu yang dimahukan oleh Daihatsu. Visi mereka untuk kereta ini adalah untuk memberikan keseronokan memandu sambil menikmati prestasi serta rekaan cantik. Disebabkan itu juga, Daihatsu telah menjadikan model konsep ini pacuan roda belakang (sebelum pacuan roda hadapan) serta menaikkan kapasiti enjinnya menjadi 1.3L (sebelum ini 660 cc).
Dengan ini, Copen bukan lagi kereta kei car, dan sudah menjadi kereta sports sebenar yang kecil sedikit berbanding Mazda MX-5. Ukuran dimensinya adalah 3,835 mm panjang, 1,695 mm lebar dan jarak roda 2,415 mm. Panjang dan lebar kedua-duanya adalah kurang berbanding MX-5, sementara jarak roda lebih 105 mm.
Bahagian dalam melihatkan susun atur yang kemas dan ringkas, dengan terdapat skrin yang mempunyai permukaan sekata dengan corong pendingin hawa di tengah, butang kawalan di stereng, tombol gear yang besar serta kawalan pendingin hawa pada skrin kapasitif.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.