Edaran Modenas Sdn Bhd hari ini memperkenalkan warna baru untuk beberapa model di bawah edarannya iaitu Modenas Z250 ABS, Modenas Z650 ABS, Kawasaki Versys 1000 SE dan Kawasaki Ninja 1000SX. Model dengan penampilan baru ini sudah mula berada di wakil pengedar rasmi Modenas dan Kawasaki seluruh Malaysia.
Bermula dengan model paling kecil, Z250 ABS, warna baru ini nampak lebih gelap dengan kebanyakan bahagian dicat kelabu dan warna hijau kini digunakan pada kerangka (sebelum ini warna hitam) serta sedikit jalur pada panel tepi. Harganya sekarang adalah RM20,600 (RM19,500 semasa dilancarkan pada Julai 2022).
Pergi pula kepada satu lagi model naked, iaitu Modenas Z650 ABS, warna baru ini menjadikannya lebih menyerlah dengan panel tepi, kerangka serta rim yang berwarna merah. Harganya naik RM700, menjadi RM35,900, berbanding RM35,200 pada waktu dilancarkan Julai lalu.
Dua model yang lebih besar, iaitu Versys 1000 SE dan Ninja 1000SX kini hadir dengan warna hampir serupa, kebanyakannya berwarna hitam dan sedikit kemasan hijau pada panel tepi dan depan, dijual pada harga masing-masing RM81,900 dan RM71,400.
Selain penyegaran semula penampilan ini, spesifikasi teknikal semua model baru yang dinamakan sebagai model tahun 2024 ini tidak berubah dan ia masih sama seperti sebelum ini. Setiap motosikal didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.