Kia Carnival facelift baharu telah pun didedahkan di Korea Selatan, dengan rekaan luaran baharu yang diinspirasikan dari SUV terkini keluaran jenama ini. Penambahbaikan diberikan selepas tiga tahun pengenalan model generasi keempat – yang masih berada di pasaran Malaysia yang diperkenalkan pada Jun 2020.
Pada bahagian hadapan, wajah baharunya mirip Sorento facelift dan EV9 dengan rekaan lampu utama LED menegak. Lampu utama baharu ini disambungkan ke lampu nyalaan siang berbentuk-T yang dilanjutkan ke seksyen atas dengan gril yang diprofil semula, termasuk menampilkan kepingan melintang berbanding model pre-facelift dengan kemasan krom yang sarat.
Untuk bahagian belakangnya, model facelift ini memperkenalkan set lampu baharu yang lebih kurang iras Seltos. Kluster direka semula dengan diposisikan pada sudut kenderana dan kini memiliki palang pencahayaan, dengan permukaan yang lebih ringkas (tiada lagi pemegang tailgate yang terbonjol) dan plat nombor pula ditempatkan lebih bawah berbanding sebelum ini.
Roda aloi baharu juga diberikan dan pilihan palet warna yang kini ditambah dengan Ivory Silver, Snow White Pearl, Astra Blue, Aurora Black Pearl, Pantera Metal dan Ceramic Silver. Walau bagaimana pun, Kia masih belum mendedahkan ruangb dalamannya, namun dijangkakan ia mempunyai beberapa perubahan untuk kabinnya seiring dengan model terkini Kia yang lain.
Kia juga menyatakan yang Carnival bakal menerima enjin 1.6 liter pengecas turbo hibrid sebagai salah satu pilihan penjana kuasa, selain enjin petrol dan turbodiesel sedia ada, tetapi masih tiada perincian mengenainya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.