Honda dan General Motors (GM) mengumumkan bahawa projek pembangunan bersama kenderaan elektrik (EV) yang lebih mampu milik yang dirancang oleh kedua-dua pengeluar automotif ini sejak ia dimuktamadkan setahun lalu telahpun dibatalkan, lapor Reuters.
Projek kerjasama ini sepatutnya bakal menjual produk pertamanya bermula 2027, namun ia dihentikan kerana kedua-dua pihak mengakui bukan mudah untuk menghasilkan produk sedemikian.
“Selepas kajian dan analisis yang mendalam, kami telah membuat keputusan bersama untuk menghentikan program ini. Setiap syarikat kekal komited terhadap kemampuan dalam pasaran EV,” kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan.
“Selepas mengkajinya selama setahun, kami memutuskan bahawa ia agak sukar untuk dilaksanakan sebagai perniagaan, jadi pada masa ini kami menamatkan pembangunan EV mampu milik,” kata CEO Honda Toshihiro Mibe dalam satu wawancara bersama Bloomberg.
Kerjasama Honda dan GM ini sebenarnya sudahpun menghasilkan Honda Prologue, iaitu SUV EV yang telah didedahkan pada Oktober tahun lalu dan dijadualkan untuk dijual bermula awal 2024.
Prologue diasaskan dai platform EV modular Ultium dari GM yang datang bersama teknologi bateri, menampilkan dimensi panjang 4,877 mm, lebar 1,989 mm, tinggi 1,643 mm dan jarak roda sejauh 3,094 mm. Ia digerakkan dengan dua motor menghasilkan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 288 hp dan tork maksima 451 Nm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.