Nissan perkenal set baju tidur Fast Asleep Nismo X Daniel Patrick – bermula RM900 hingga RM1,300

Nissan perkenal set baju tidur Fast Asleep Nismo X Daniel Patrick – bermula RM900 hingga RM1,300

Jika anda peminat Nissan Motorsport International (Nismo), sekarang anda bukan hanya boleh bergaya dari bangun pagi hingga malam dengan pelbagai barangan rasmi seperti baju kemeja-T dan jam tangan kolobrasi dengan logo jenama tersebut – memperkenalkan koleksi baju tidur Fast Asleep Nismo edisi terhad yang kini sudahpun boleh dibeli, membolehkan gaya Nismo anda kekal hingga masuk tidur!

Koleksi ini dihasilkan bersama oleh Nissan dan juga pereka streetwear olahraga premium, Daniel Patrick. Dua jenis pakaian tidur ditawarkan dalam koleksi ini iaitu set baju tidur (pyjamas) dan juga jubah tidur. Menurut Nissan, untuk menghasilkan koleksi ini, Daniel Patrick diberi peluang untuk merasai pengalaman memandu Nissan Z Nismo 2024 bagi mengambil inspirasi “kombinasi fokus sedia untuk litar dan penggayaan tersendiri”.

Kedua-dua pakaian tidur berkenaan menampilkan skim warna yang diinspirasikan dari Nismo, serlahan warna merah dan kemasan yang merujuk kepada bentuk lampu belakang LED Z Nismo, tali serut pinggang berwarna merah diinspirasikan dari jalur merah di bahagian bawah Z Nismo, serta sulaman logo Nismo.

Selain itu, Nissan menyatakan bahawa baju dan jubah tidur ini juga mempunyai “liang udara yang diletakkan secara strategik bagi menyokong pengurusan aliran udara sama seperti perincian penting pada mana-mana rekaan kereta sport”, dan juga menggunakan material yang boleh bernafas untuk pentermokawalaturan.

Nissan turut menyatakan bahawa projek penghasilan pakaian tidur ini juga mengambil inspirasi dari “sains tidur” oleh “pakar tidur”, Dr. Matthew Walker yang membuat penyelidikan ekstensif bagi menyorot kepentingan rehat yang berkualiti bagi memberikan prestasi terbaik pada pelumba kereta.

“Untuk menjadi pemandu yang lebih baik, ia bukan hanya mengenai prestasi dan bertindak balas dengan cepat, ia juga mengenai konsistensi – dan menguruskan tumpuan. Saya tidak tahu apa-apa selain tidur yang mempunyai sumbangan statistik yang lebih besar untuk meningkatkan keupayaan itu,” ” kata Walker.

Salah satu cadangan Walker bagi meningkatkan kualiti tidur adalah dengan memastikan suhu badan berada pada kadar sepatutnya pada waktu malam. Jadi koleksi baju tidur Nismo ini direka mengikut saranan Walker dengan menggunakan material polar fleece, diberikan liang sisi dan juga seluar dengan bahagian kaki yang lebar bagi menyokong pentermokawalaturan dan aliran udara.

“Rekaan koleksi pakaian tidur ini menampilkan pengudaraan yang diletakkan secara strategik, yang mungkin membantu melepaskan haba yang terperangkap. Apabila kita melepaskan haba yang terperangkap, suhu badan kita boleh mula menurun, dan itu akan memberikan tidur yang lebih lena,” kata Walker lagi.

Koleksi pakaian tidur ini boleh dibeli di laman sesawang rasmi Daniel Patrick. Untuk pelanggan dari Malaysia, laman tersebut menyenaraikan harga RM1,300 untuk set baju tidur dan RM900 untuk jubah tidur. Harga yang dinyatakan ini tidak termasuk cukai dan kos penghantaran. Koleksi ini juga dihasilkan dalam jumlah terhad iaitu hanya 50-unit setiap satu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required