Electrikhana TWO: Video terakhir Ken Block disiarkan

Electrikhana TWO: Video terakhir Ken Block disiarkan

Awal tahun ini kita digemparkan dengan kematian pemandu rali dari Amerika Syarikat yang popular dengan siri video Gymkhana iaitu Ken Block. Beliau meninggal dunia pada 2 Januari 2023 selepas terlibat dalam kemalangan ketika sedang bermain dengan snowmobile di Utah.

Namun sebelum kemalangan tragik tersebut terjadi, Block sempat melengkapkan penggambaran video Gymkhana terakhirnya pada November 2022. Video bertajuk Eletrickhana TWO tersebut dirakamkan sekitar Mexico City dengan Ken Block memandu jentera lumba EV yang dibina olehnya bersama Audi, diberi nama Audi S1 e-Tron Quattro “Hoonitron”.

Jentera berkenaan sebelum ini sudahpun muncul dalam video pertama Electrickhana yang disiarkan pada tahun lalu. Seperti namanya, Audi S1 Hoonitron ini dihasilkan dari inspirasi jentera rali Group B Audi Sport Quattro S1 yang menggegar pentas Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada era 80’an.

Ia digerakkan oleh dua buah motor elektrik dari sukan permotoran iaitu unit motor-generator unit (MGU) yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda. Secara keseluruhan ia menghasilkan kuasa 671 hp (500 kW) dan tork maksima 640 Nm. Dengan putaran maksima 28,000 rpm, motor-motor berkenaan turut diberikan transmisi dengan nisbah gear 12:1 bagi membolehkan Block melakukan aksi drift dan mencapai kelajuan lebih 200 km/j pada roda.

Manakala untuk bekalan kuasa, Hoonitron dibekalkan dengan empat buah bateri berkapasiti 14.4 kWj yang diambil dari model-model plug-in hybrid (PHEV) produksi Audi, menghasilkan kapasiti keseluruhan 57.6 kWj dan beroperasi dengan sistem 800-volt menjana unit rangkaian kuasa.

Seperti jentera Audi Sport Quattro S1 Group B sebenar, S1 Hoonitron ini turut menampilkan jarak roda pendek iaitu kurang dari 2.4 meter (lebih pendek dari model entry level produksi Audi A1 Sportsback dengan jarak 2,563 mm) bagi meningkatkan tahap kelincahannya ketika mengambil selekoh.

Untuk Electrickhana TWO ini, Ken Block telah melakukan pelbagai ubahsuai tingkat taraf pada Hoonitron S1 tersebut, antaranya menghasilkan nisbah gear maya dengan pedal penukar gear pada roda stereng bagi disesuaikan teknik drift, mod penukaran pantas dari pacuan semua roda kepada pacuan belakang, mod burnout setempat yang membolehkan roda belakang dan hadapan berputar berlawanan arah dan juga kebolehan jentera ini bertukar dari bergerak ke hadapan kepada mengundur dalam apa jua kelajuan.

Electrikhana TWO: Video terakhir Ken Block disiarkan

Ia turut dihasilkan dengan nisbah berat hadapan dan belakang hampir sempurna pada kadar 52:48 serta diberikan konfigurasi suspensi Topang McPherson pada bahagian hadapan dan belakang dengan jarak pergerakan spring melebihi 200 mm membolehkan ia melompat dan mendarat dengan selamat.

Dalam video Electrickhana TWO ini Ken bermula di lokasi ikonik Mexico City iaitu Plaza De Toros Mexico, gelanggang perlawanan lembu jantan terbesar di dunia. Selepas itu beliau memandu Audi S1 Hoonitron berkenaan di sekitar jalan raya, bulatan, lebuhraya bertingkat, terowong dan pelbagai lagi lokasi ikonik di tengah ibu negara Mexico berkenaan seperti Museo Soumaya, dan berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juárez.

Bagi mengenang semula perjalanan keseluruhan Ken Block menghasilkan video-video dalam siri Gymkhana ini, Hoonigan turut memuatkan klip-klip dari semua video yang dibintangi oleh Block sejak bersama Subaru pada 2008, kemudian beralih kepada Ford pada 2010, akhir sekali bersama Audi bermula 2022.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required