Isuzu D-Max catat jualan 9,650 unit untuk 2023 – varian 1.9L Standard paling tinggi sumbangan cecah 28%

Isuzu D-Max catat jualan 9,650 unit untuk 2023 – varian 1.9L Standard paling tinggi sumbangan cecah 28%

Isuzu D-Max 1.9L Standard 2023

Isuzu D-Max telah mencatatkan angka jualan yang memberangsangkan untuk tahun 2023 iaitu mencecah 9,650 unit, lebih tinggi sebanyak 439 unit berbanding rekod yang dicapai pada 2022 dengan 9,211 unit. Menurut Isuzu Malaysia, dengan rekod baharu yang dicapai itu telah menjadi bukti kepada keberhasilan rekaan dan ciri yang ditawarkan oleh trak pikap berkenaan, yang telah mengubah pasaran dan meraih lebih banyak penggemarnya.

“Sejak D-Max generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia pada 2021, minat terhadap model ini sangat konsisten tinggi disebabkan oleh cirinya yang canggih, karektor pemanduan cemerlang, operasi versatil dan nilai yang menguntungkan. Model baharu ini juga telah memperluaskan lingkungan pelanggan kami dan mencatatkan perluasan jualan sebanyak 185%, dan dalam masa yang sama mengekalkan kelompok pelanggan sedia ada,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Permintaan kukuh yang berterusan untuk Isuzu D-Max membolehkan jenama ini untuk berada di kedudukan kedua di Sabah, Kedah dan Pahang bagi segmen trak pikap. Sementara untuk kedudukan peringkat nasional pula, ia berada di kedudukan ketiga dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 16.6%.

Buat masa ini, untuk pasaran Malaysia, Isuzu D-Max dibarisi lapan varian komprehensif, bermula dari versi Single Cab hinggalah kepada yang paling canggih dan model flagship, X-Terrain.

Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain 2023

Menjadi pilihan utama sekali lagi adalah varian 1.9L Standard yang dilancarkan pada awal Julai 2023 telah menyumbang sebanyak 28% jualan. Varian ini menjadi begitu popular kerana kapasiti enjinnya yang menjimatkan bahan api serta memberi manfaat kadar cukai jalan dan kos penyelenggaraan yang rendah. Ia juga diberikan beberapa ciri tambahan termasuk kamera undur, skrin sentuh tujuh-inci, yang ditawarkan dengan harga bermula RM106k.

Selain itu, permintaan terhadap varian X-Terrain juga terus meningkat sepanjang 2023, didorong oleh tahap kecanggihan dan penampilannya yang segar serta kemampuan prestasi off-road yang diberikan. Jualannya juga meningkat sebanyak 24.5% sejak pelancarannya pada pertengahan Februari tahun lalu. Ciri menariknya termasuklah Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan juga jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

“Isuzu D-Max generasi ketiga telah menjadi model penting bagi jenama ini kerana ia menggabungkan keupayaan kejuruteraan terbaik Isuzu dengan kecanggihan kenderaan moden serta rekaan ergonomik yang diperlukan oleh pengguna. Ini menjadikan D-Max sebuah trak pikap yang sangat berkeupayaan dalam memenuhi keperluan setiap penggunanya. Ia trak untuk semua,” tambah Okazoe.

GALERI: Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required